Keluarga Nhaveen Nafi Rayu Derma Pengebumian

GEORGETOWN – Peguam mangsa kes buli dan liwat, Datuk Baljit Singh, meminta orang ramai berhenti mempercayai mesej meminta derma kononnya bagi membiayai pengebumian mendiang T Nhaveen, yang viral di media sosial sejak semalam.

Baljit berkata, keluarga Nhaveen, 18, tidak pernah mengemukakan hasrat untuk meminta derma bagi membiayai urusan pengebumian anak sulung mereka itu.

“Saya ingin tegaskan keluarga tidak pernah melantik mana-mana pihak berbuat demikian.

“Saya juga berharap semua pihak menghormati privasi keluarga Nhaveen yang masih bersedih,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di sini, hari ini.

Difahamkan, mesej yang tersebar sejak petang semalam itu, meminta orang ramai menghulurkan derma, kononnya untuk disumbangkan kepada keluarga mangsa menerusi satu nombor akaun bank tempatan.

Nhaveen yang bertarung nyawa dan mengalami keadaan otak mati selepas menerima rawatan selama enam hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), disahkan meninggal dunia pada jam 6 petang, semalam.

Dalam kejadian jam 2 pagi Sabtu lalu, Nhaveen dan rakannya, T Perviin, 19, dipukul lima lelaki, termasuk bekas rakan sekolahnya berusia antara 16 hingga 18 tahun, selepas berlaku perang mulut antara mereka.

Bagaimanapun, Perviin sempat melarikan diri sebelum Narvheen diseret ke kawasan padang dan dipukul menggunakan topi keledar, dibakar pada bahagian bahu dan duburnya ditusuk objek tumpul. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.