Kelantan Masih Samar Guna Khidmat Pemain Import Baharu

KUALA LUMPUR – Status pendaftaran pemain baharu pasukan Kelantan, Syedi L Imam pada jendela perpindahan pertengahan musim terus menjadi tanda tanya selepas Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) sehingga kini masih belum memberikan kata putus.

Menerusi satu kenyataan FMLLP memaklumkan status pemain berusia 31 tahun itu masih tergantung disebabkan masih menunggu pengesahan daripada Lembaga Undang-undang FMLLP, lapor Bernama.

Nasib sama juga menimpa pasukan Liga Perdana, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila hasrat mereka untuk mendaftar empat pemain tempatan bagi menguatkan jentera pasukan tertangguh selepas turut terpaksa menanti pengesahan daripada FMLLP.

FMLLP sebelum ini mengenakan hukuman pemotongan enam mata dan sekatan perpindahan pemain bagi jendela pertengahan musim kepada Kelantan dan tiga lagi pasukan Liga Malaysia (Liga-M) berhubung isu tunggakan gaji selain kegagalan melengkapkan pendaftaran pemain.

Bagaimanapun, hukuman terhadap dua pasukan – Perlis dan T-Team dibatalkan selepas kedua-dua pasukan itu berjaya mengemukakan dokumen tertangguh berserta rayuan kepada FMLLP, manakala isu berkaitan ATM masih dalam siasatan lanjut.

Sementara itu, Sekatan perpindahan tersebut mendapat perhatian Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang lantang mengkritik FMLLP kerana tidak membenarkan skuad The Red Warriors (TRW) mendaftarkan Imam bagi menggantikan Alessandro Padovani Celin yang dikatakan kurang cergas.

Namun, perbalahan di antara FMLLP dan KAFA tidak berlarutan dalam tempoh lama selepas kedua-dua pihak terbabit mengadakan pertemuan pada awal bulan ini, bagi membincangkan seterusnya menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi Kelantan.

Imam yang merupakan pemain kelahiran Perancis dipancing KAFA bagi mengambil alih tugas posisi bekas penyerang sensasi TRW, Mohammed Ghaddar yang menyertai pasukan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta”zim (JDT) pada bulan lepas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.