Jabatan Kehakiman US Memfailkan Tindakan Sivil

KENYATAAN AKHBAR

PEGUAM NEGARA MALAYSIA

 

Jabatan Peguam Negara Malaysia (JPN) maklum tentang tindakan undang-undang sivil terbaru oleh Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat. Tindakan kedua ini datang pada ulang tahun tindakan yang pertama, dan nampaknya adalah ulangan yang pertama. Kami ingin merakamkan kekecewaan bahawa sekali lagi JPN tidak dimaklumkan oleh DoJ berkenaan tindakan ini.

Kami juga maklum bahawa tidak ada sebarang bukti dari sebarang penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan bahawa wang telah disalahgunakan dari 1MDB; dan bahawa tidak ada sebarang tuduhan jenayah terhadap mana-mana individu untuk penyelewengan dana daripada 1MDB.

1MDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan telah menjadi subjek beberapa siasatan dalam Malaysia, termasuklah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira dwipartisan. Selepas semakan, kami mendapati bahawa tidak ada jenayah yang telah dilakukan. Pada masa ini masih terdapat penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia mengenai 1MDB.

Kami ingin merakamkan kebimbangan kuat pada implikasi salah laku jenayah yang telah dibuat terhadap Perdana Menteri. Tiada langsung dalam tuntutan sivil itu di mana Perdana Menteri telah dinamakan sebagai defendan atau telah didakwa melakukan sebarang salah laku.

Setakat ini JPN masih belum menerima sebarang permintaan daripada DoJ untuk mendapatkan sebarang maklumat atau bukti. Walau bagaimanapun, kami mengalu-alukan permintaan seperti itu selaras dengan komitmen kami untuk kerjasama antarabangsa dan memerangi pengubahan wang haram.

Seperti yang telah saya janjikan sebelum ini, JPN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan perbuatan jenayah dengan syarat terdapat bukti yang mencukupi untuk berbuat sedemikian. Sebarang salah laku akan dihukum dan Malaysia akan sentiasa mendukung kedaulatan undang-undang.

TAN SRI DATO’ SRI HAJI MOHAMED APANDI BIN HAJI ALI,
PEGUAM NEGARA MALAYSIA
16 JUN 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.