Bayi Bertali Pusat Ditinggal Dalam Beg Pakaian Di Depan Kedai

Seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemu ditinggalkan di dalam sebuah beg pakaian di hadapan sebuah bangunan kedai berdekatan Taman Seri Kota, Pasir Pekan di Tumpat semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Zaharudin Rasip berkata bayi perempuan itu ditemui seorang Inspektor Kesihatan kira-kira pukul 8 pagi di hadapan bangunan kedai tersebut yang juga berhampiran Klinik Kesihatan 1Malaysia Pasir Pekan.

“Ketika ditemukan bayi perempuan itu menangis dan didengari lelaki berusia 25 tahun yang tinggal berdekatan bangunan kedai tersebut. Ketika itu lelaki berkenaan sedang bersiap untuk ke tempat kerjanya,” katanya ketika dihubungi.

Zaharudin berkata lelaki tersebut memaklumkan penemuan bayi itu kepada kakaknya sebelum laporan polis dibuat.

Beliau berkata bayi terbabit kemudiannya dihantar ke Klinik Kesihatan 1Malaysia sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Katanya bayi perempuan itu kini dilaporkan dalam keadaan sihat dan ditempatkan di hospital terbabit untuk pemeriksaan lanjut.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi.

Sementara itu, Faizan Rohban, 25, yang menemui bayi terbabit berasa terkejut kerana pertama kali menemui bayi yang masih bertali pusat ditinggalkan di lokasi terbabit.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.