40,000 Pelita Dinyalakan

KEMAMAN – Sebanyak 40,000 pelita akan dinyalakan sempena pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2016 yang melibatkan empat buah daerah di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata program yang mula diperkenalkan sejak 2009 itu dijangka mampu menarik penyertaan sehingga 400  peserta.

Katanya kampung yang terlibat ialah kampung Sekati, Kuala Terengganu; Kampung Air Putih, Kemaman; Kampung Beris Lampu, Besut dan Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus.

Dalam pada itu, menurutnya pertandingan yang bertemakan Warna-Warni Pelita Raya Beautiful Terengganu itu menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM42,000 dan pemenang tempat pertama bakal menerima RM3,000; kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Jelasnya kebanyakan pelita tersebut diperbuat daripada bahan terbuang dan bahan semula jadi sebelum membentuk replika mahupun monumen mengikut kreativiti tersendiri, lapor Bernama.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 3,000 pelita juga dinyalakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing bagi menarik minat pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 singgah berehat di R&R terbabit.

Untuk rekod, pertandingan Pelita Raya ini mula diperkenalkan pada peringkat kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh pada tahun 2009 sebelum diperluaskan ke kawasan lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.