30 Artis Veteran, Kurang Upaya Terima Bantuan Aidilfitri


SEPANG – Seramai 30 artis veteran dan kurang upaya tanpa mengira bangsa dan agama menerima bantuan dalam bentuk kewangan daripada HyppTV dengan kerjasama Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M).

Menurut Presiden YA1M, Datuk DJ Dave, sejumlah wang tunai sebanyak RM2,000 dihulurkan kepada artis yang telah mencecah usia melebihi 60 tahun bagi meringankan beban mereka menjelang sambutan Syawal tidak lama lagi.

“Bertempat di Symphony Hills, Cyberjaya di sini, bantuan tersebut diagihkan termasuk kuih raya kepada golongan artis yang layak menerima sumbangan atas jasa dan bakti mereka.

“Bukan itu sahaja, mereka turut diberikan kad khairat YA1M yang berkuat kuasa selama setahun. Jumlah keseluruhan peruntukkan yang dikeluarkan HyppTV adalah sebanyak RM62,000.

“Pemberian ini adalah salah satu agenda dan misi yayasan yang dipegang sepanjang penubuhannya. Ini juga merupakan misi dan objektif YA1M dalam menjaga kebajikan dan pembelaan kepada golongan artis yang memerlukan,” ujar DJ Dave.

Dalam pada itu beliau menambah, Restoran Maestro yang terdapat di Symphony Hills memberi peluang kepada artis-artis di bawah YA1M untuk mengadakan persembahan sepanjang Ramadan sambil menghiburkan pengunjung yang berbuka puasa di situ.

Antara penyanyi yang terlibat ialah Datuk Nash, Salwa Abdul Rahman, Ibnor Riza, Hazami, Zur Eda, Mya Matahari, Ifa Raziah, Royce Sa’ayan Ir Radzi, The Mirza dan ramai lagi. – UTUSAN


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.