Yatt Bulan Madu Di Mekah

Meskipun diuji dengan kisah keretakan rumah tangga sekitar beberapa bulan tetapi berkat kesabaran akhirnya ikatan perkahwinan Yatt Hamzah yang dibina bersama suaminya Abd Mutalib Abd Shukor kini kembali melalui detik bahagia bersama puteri kesayangan mereka, Suci Hanania Malika berusia 5 tahun.

 

Bertemu Yatt, 35, pada majlis pelancaran koleksi terbaru sempena Aidilfitri, jenama pakaiannya Suci By Yatt Hamzah, semalam, selebriti juga aktif sebagai aktivis kemanusian ini menyatakan seperkara paling bermakna yang dipelajarinya atas apa yang dilalui beberapa bulan lalu ialah dia belajar menjadi seorang hamba Allah yang redha dan bersyukur.

 

“Alhamdulillah, perkara lepas banyak mengajar dan paling bermakna ialah saya belajar menjadi hamba-Nya yang redha. Sebelum ini bila Allah datangkan ujian dan dugaan, saya mungkin cepat rapuh.

 

“Namun, sejak insiden itu saya menjadi lebih redha, sekaligus mendidik saya menjadi insan yang lebih bersyukur. Kini saya sedar Allah telah berikan saya suami yang terbaik untuk saya dan saya terbaik untuk dia,” tuturnya dengan nada sebak sambil memberikan senyuman ketika ditemui di butiknya di Dataran Wangsa Melawati.

 

Kebahagiaan Yatt sekeluarga tidak terhenti disitu, malah lebih bermakna apabila tahun ini mereka tiga beranak diberikan kesempatan menunaikan umrah sekaligus menyambut Ramadan di tanah suci Mekah. Mereka berangkat ke sana pada hari ini dan berada di sana selama 12 hari.

 

Ini merupakan umrah kali ketiga bagi Yatt tetapi pertama kali ketika Ramadan. Sementara, bagi Mutalib dan Suci merupakan umrah kali kedua mereka.

 

Katanya, dia memang sudah lama memasang impian mahu menyambut dan berbuka puasa di depan Masjidil Haram.

 

“Sebenarnya ia perancangan spontan, saya yang ajak suami ke sana sebab memang sudah lama saya teringin sangat mahu menyambut Ramadan di sana, berbuka dengan kurma dan air zam-zam di depan Masjidil Haram.

 

“Walaupun pada mulanya proses untuk ke sana agak mustahil sebab kalau kita mahu buat umrah pada bulan Ramadan, kosnya dua kali ganda dan proses seperti visa juga sukar diperolehi dengan cepat tetapi alhamdulillah segala urusan kami berjalan lancar.

 

“Insha Allah, sempena Ramadan ini saya mahu cari keredhaan-Nya. Mudah-mudahan umrah ini akan mengakrabkan lagi ikatan kami sekeluarga.

 

“Walaupun berpuasa, ini juga kira ‘honeymoon’ saya dan suami,” katanya sambil tertawa kecil.

 

Sementara itu, berkongsi pula mengenai perniagaan pakaian yang dimulakannya sejak dua tahun lalu, Yatt meluahkan rasa syukur kerana sambutan terhadap Suci by Yatt Hamzah kini semakin mendapat sambutan hangat.

 

Menariknya, semua rekaan busana jubah untuk lelaki dan wanita, merupakan rekaan idea kreatif daripada Yatt sendiri.

 

“Syukur, saya masih baru dan banyak lagi saya perlu belajar. Tak sangka sambutan terhadap jenama saya sangat menggalakkan.

 

“Saya bermula dua tahun lalu dengan hanya menjual shawl. Ketika saya sertai misi kemanusian di Gaza, saya berfikir apa lagi cara yang saya boleh bantu di sana selain berdoa moga mereka sentiasa dilindungi.

 

“Secara tak langsung saya dapat ilham untuk menghasilkan shawl bermotifkan bendera Palestin. Niat saya cuma satu, hasil jualan shawl itu saya mahu salurkan pada tabung Palestin.

 

“Bila saya balik dan mulakan perniagaan tersebut bermula dengan hanya 50 helai,

 

“Alhamdulillah ramai yang beli dan permintaan semakin bertambah sehingga ke rekaan jubah dan membuka butik. Kemudian saya prluaskan lagi dengan menyertai vendor,” katanya.

 

Setakat ini, Yatt sudah mempunyai butik di Shah Alam dan Medan Mara serta empat vendor di Bangi, Kuantan, Melaka dan Johor Bahru.

 

Sungguhpun begitu, Yatt menyatajan dia juga berdepan masalah cetak rompak jenamanya. Mengakui ianya sukar dibendung, dia hanya menyerahkan kepada rezeki.

 

“Tak dinafi, persaingan hebat tambahan kini semakin banyak rekaan di pasaran. Saya juga berdepan situasi jenama saya ditiru.

 

“Saya pernah cuba mengekangnya tetapi gagal sebab luar kawalan saya. Jadi saya hanya berserah dan percaya pada rezeki Allah,” tuturnya.

 

Dalam perkembangan lain, di samping aktiviti ceramah dan kemanusian, Yatt kini menumpukan sepenuh perhatian kepada perniagaannya. Namun, itu tidak bermakna dia sudah meninggalkan terus dunia lakonan.

 

“Saya bukan cuci tangan. Cuma, buat masa ini saya mahu fokus pada perniagaan.

 

“Saya merancang akan buat ‘comeback’ tapi Insha Allah pada tahun hadapan. Mungkin saya akan kembali ke dunia lakonan menerusi produksi saya sendiri,” katanya.

 

Selain itu, selepas Aidilfitri, Yatt dijangka bakal mengikuti aktiviti kemanusiaan ke Rohingya dan mempunyai perancangan ke Syria sekitar tahun hadapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.