Warga Somalia Dituduh Cubit Punggung Wanita

Kuala Lumpur – Seorang penganggur warga Somalia dihadapkan ke mahkamah majistret hari ini kerana didakwa mencabul wanita dalam tren monorel.

 

Mubarik Hassan Hashi, 31, didakwa mencubit punggung kiri wanita berusia 25 tahun pada waktu puncak jam 6.10 petang di dalam tren monorel di stesen Hang Tuah pada 3 Jun lalu.

 

Dia didakwa di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau dua daripada hukuman berkenaan, sekiranya didapati bersalah.

 

Timbalan pendakwaraya, Nordiana Nor Azwa meminta mahkamah membenarkan ikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin, meminta tertuduh menyerahkan pasportnya dan melaporkan diri di balai polis berdekatan, sekali sebulan.

 

Namun, peguam Mubarik, Abdul Halem Mohamad Husin memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin.

 

“Anak guam saya tiba ke Malaysia enam tahun lalu dan telah menamatkan pengajian di kampus Universiti Multimedia di Melaka.

 

“Selepas tamat pengajian, dia belum mendapat pekerjaan disebabkan masalah dengan jabatan imigresen.

 

“Kejadian ini mungkin bukan disengajakan kerana ia berlaku di waktu puncak,” katanya kepada mahkamah.

 

Majistret Siti Radziah Kamarudin mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sekali sebulan.

 

Mahkamah turut menetapkan ikat jamin RM3,500 dengan dua penjamin.

 

Isteri tertuduh, seorang warga tempatan dan ibu mentuanya menjelaskan ikat jamin.

 

Abang Mubarik dan anak saudara lelakinya, yang datang ke Malaysia untuk bercuti, menangis selepas mendengar keputusan mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.