Tercengang Lihat Kedai Disita

Petaling Jaya – Gara-gara mengambil ringan lesen perniagaan yang telah tamat tempoh, seorang pemilik premis tercengang apabila kedainya disita anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam Ops Lesen hari ini.

 

Premis yang menjalankan perniagaan membaiki barangan yang berjenama itu didakwa tidak memperbaharui lesen perniagaan yang tamat tempoh tahun lalu.

 

Seorang lelaki yang enggan dikenali berkata, menyedari lesen perniagaannya telah tamat tempoh tetapi disebabkan perniagaan tersebut dikongsi bersama seorang lagi rakannya, dia mengambil masa lama untuk memperbaharui lesen itu.

 

“Sebelum ini perniagaan ini menggunakan nama syarikat lain dan selepas seorang rakan menarik diri, nama syarikat ini ditukarkan.

 

“Ini barang pelanggan dan saya terpaksa memohon lesen perniagaan lain untuk mendapatkan barang yang disita semula,” katanya yang menjalankan perniagaan di Jalan PJS 8/9 Petaling Jaya.

 

Beberapa barangan seperti monitor dan televisyen disita selain premisnya ditutup sehingga lesen perniagaan diluluskan.

 

Sementara itu, Datuk Bandar MBPJ, Mohd Azizi Mohd Zain berkata, sehingga April 2015, 80 peratus daripada 41, 738 pemegang lesen telah memperbaharui lesen perniagaan mereka.

 

Menurutnya, namun 12 peratus masih tidak memperbaharui lesen dan pihaknya akan terus memburu mereka.

 

“Seramai 1050 peniaga dikesan tidak memperbaharui lesen perniagaan dan bagi mengekang aktiviti ini berleluasa, saya telah mengarahkan Jabatan Perlesenan menyalurkan data peniaga tanpa lesen ini kepada Jabatan Penguatkuasaan untuk tindakan,” katanya kepada media selepas operasi penguatkuasaan di sekitar Bandar Sunway, Petaling Jaya di sini.

 

Menurutnya, tiga premis perniagaan disita kerana tidak memperbaharui lesen dan lesen perniagaan yang sah serta barang mereka disita serta dikompaun.

 

Katanya, MBPJ tidak menerima alasan peniaga yang mendakwa tidak mempunyai masa untuk memperbaharui lesen kerana MBPJ menyediakan kaunter bergerak sepanjang November dan disember tahun  lalu.

 

“Kami juga menyediakan kemudahan pembayaran secara dalam talian dan sebanyak 1106 lesen telah diperbaharui tahun dengan kutipan RM179, 466.

 

“Kami nasihatkan peniaga untuk perbaharui lesen mereka bagi mengelakkan daripada di kompaun dan barangan di sita,” katanya. – The Rakyat Post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.