Sultan Nazrin Shah Hargai Peranan Media

Kuala Lumpur – Sultan Nazrin Shah bertitah baginda amat menghargai peranan pelbagai agensi dan petugas media yang memberi liputan meluas bersempena istiadat pertabalan baginda sebagai Sultan Perak XXXV.

 

“Media melaksanakan peranan amat penting menguar-uarkan acara-acara yang dianjurkan dalam semangat untuk mendidik dan meningkatkan kefahaman serta apresiasi masyarakat umum terhadap peranan dan relevansi institusi Raja dalam sistem berkerajaan dan bernegara, berlandaskan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen,” titah baginda.

 

Baginda bertitah pada Majlis Penghargaan Kepada Ahli-Ahli Jawatankuasa dan Petugas Istiadat Pertabalan Paduka Seri Sultan Perak XXXV yang berlangsung di Hotel Casuarina, Meru hari ini.

 

Sultan Nazrin Shah turut menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar dan seluruh jentera kerajaan negeri yang disifatkan baginda sebagai mengusahakan yang terbaik untuk menjayakan istiadat pertabalan.

 

Baginda bertitah penyertaan golongan pelajar dan belia secara aktif dengan acara berbentuk intelek, keilmuan serta membina elemen kenegaraan yang berpegang kepada prinsip Rukun Negara iaitu “Kesetiaan Kepada Raja dan Negara”, amat menggalakkan serta wajar terus dihidupkan dan berkesinambungan.

 

Baginda turut menyatakan penghargaan kepada Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Rela dan pelbagai badan beruniform.

 

Demikian juga Majlis Agama Islam dan Adat Melayu, Jabatan Agama Islam, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kesihatan, Pejabat dan Majlis Daerah serta pelbagai jabatan dan agensi lain serta pihak swasta.

 

“Begitu pula peranan rakyat jelata yang hadir menyambut keberangkatan Beta dan Raja Permaisuri,” ujar baginda.

 

Sehubungan itu, Sultan Nazrin Shah bertitah jalinan kerjasama yang tinggi antara pelbagai jabatan, agensi, pihak swasta dan individu dalam semangat “berat sama dipikul” untuk mencapai satu matlamat yang sama berjaya menghasilkan yang terbaik.

 

Justeru, baginda bertitah semangat kerjasama dan kesatuan matlamat ini hendaklah terus dipupuk dan dihidupkan sepanjang masa dan diterapkan sebagai budaya kerja untuk memajukan Perak.

 

Sultan Nazrin Shah turut menzahirkan penghargaan kepada “petugas tidak bernama”, iaitu mereka yang terlibat dalam kerja seperti membina “bill board”, merentang sepanduk, menggantung bendera, memasang lampu, dan sebagainya.

 

“Merekalah petugas yang melakukan kerja berat tanpa minta dipuji; mereka bermandi keringat, dibakar pancaran terik matahari, dibasahi hujan, didingini titisan embun malam,” titah baginda.

 

Sultan Nazrin Shah bertitah baginda sukacita apabila disembah maklum bahawa titah nasihat baginda untuk meminimumkan perbelanjaan dipatuhi.

 

Sehubungan itu, baginda menzahirkan hasrat untuk menyerahkan Balai Gambang yang dinamakan Cempaka Sari, iaitu kenderaan air diraja, kepada kerajaan negeri dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di negeri ini.

 

Kenderaan itu digunakan untuk menyusuri Sungai Perak dalam istiadat menziarah makam. – Bernama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.