Rombakan Kabinet: Nazri Aziz Dijangka Digugurkan

Kuala Lumpur – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dijangka akan digugurkan dalam rombakan Kabinet yang diramal berlaku selepas sambutan Aidilfitri.

 

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak mungkin mahu menyimpan Menteri Kabinet yang bermasalah.

 

“Hayat politik Nazri mungkin akan berakhir dalam rombakan kabinet selepas Hari Raya nanti kerana Najib (Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak) tidak mungkin mahu menyimpan terlalu banyak beban dan masalah dalam kerajaan pimpinannya yang sedia rapuh itu.

 

“Pertelingkahan Nazri dengan TMJ ini sudah pastinya menambahkan lagi pening dan tumbuhnya lebih banyak uban di kepala Najib yang sudah sedia berserabut dalam mendepani serangan serta kritikan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad,” katanya memetik tulisan di dalam blognya.

 

Menurut Shahbudin, isu Nazri mungkin tidak dianggap sukar oleh Najib sekiranya krisis yang berlaku tidak melibatkan kerabat diraja yang akan mewarisi takhta Sultan Johor.

 

Malangnya, kini Najib tidak mempunyai pilihan lain selain menyingkirkan Nazri daripada Kabinet kerana tindakan Ahli Parlimen Padang Rengas itu telah mencemarkan imej parti dan kerajaan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhan.

 

“Berbalah dengan Istana Johor, menjadikan dirinya kecaman ramai dan meletakkan kerajaan sebagai bahan cemuhan kerana mempunyai Menteri yang dilihat angkuh dan sombong.

 

“Malah kedudukan dan nilai diri Nazri sebagai sahabat lama kepada Najib juga makin berkurangan kerana dianggap lebih menyusahkan daripada menguntungkan,” katanya.

 

Katanya bagi mengembalikan maruah kerajaan yang sudah tercemar kerana memiliki seorang Menteri sedemikian Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa mengadap Istana Johor untuk menyemesaikan kemelut yang berlaku.

 

“Jika tidak Najib, mungkin Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin terpaksa memohon untuk mengadap kepada Istana Johor sebagai langkah penyelesaian seterusnya,” katanya. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.