Pakatan Rakyat Ada Masalah – Wan Azizah

Kuala Lumpur – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengakui wujud permasalahan dalam Pakatan Rakyat (PR) yang memerlukan perhatian daripada pimpinan parti itu menanganinya dengan penuh bijaksana.

 

Presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kenyataannya hari ini mencadangkan satu perbincangan dengan semua parti komponen dalam pakatan pembangkang itu diadakan bagi memperkukuhkannya agar progresif dan berpegang kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, sehaluan dengan aspirasi rakyat yang terus menuntut perubahan.

 

“Perbincangan perlu diteruskan dengan parti-parti politik dan juga badan-badan bukan kerajaan dalam kerangka besar masyarakat madani lainnya demi merangka hala tuju dan masa depan untuk membina Malaysia yang gagah.

 

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat dalam perjuangan menuntut perubahan,” katanya.

 

Beliau yang kini memikul tanggungjawab Ketua Pembangkang turut menyeru pimpinan tertinggi dalam parti sekutu dalam PR untuk mengukuhkan muafakat dan persefahaman bersama sejak 15 tahun lalu.

 

Menurutnya, solidariti tahaluf siyasi atau kerjasama politik ini memberikan harapan baru kepada negara.

 

Dr Wan Azizah turut menjadikan model pentadbiran negeri Selangor di bawah pimpinan Azmin Ali sebagai contoh yang berpegang kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

 

Katanya, dasar tersebut telah menghasilkan kejayaan dalam beberasa dasar termasuk dasar perumahan, bantuan mikrokredit dan pendidikan yang kini menjadi pemangkin untuk perubahan di peringkat pusat.

 

Permasalah dalam PR pasca Muktamar Agung PAS ke-61 mulai membimbangkan apabila muktamar pada 4 Jun lalu itu dikatakan meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP yang dibawa Dewan Ulama PAS pusat tanpa dibahas, susulan beberapa kenyataan pimpinan parti itu terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

 

Bagaimanapun usul berkenaan mahu PAS mengekalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang bersama PKR.

 

Dr Wan Azizah dalam kenyataannya juga turut berharap permasalahan ini akan dapat diselesaikan bagi menzahirkan Malaysia yang lebih adil dan baik untuk semua.

 

Manakala PAS sedah berkali-kali menegaskan bahawa usul itu bukan meminta perkara itu diputuskan oleh Muktamar, sebaliknya meminta Muktamar mencadangkan perkara itu kepada Majlis Syura Ulamak serta Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk diputuskan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.