Video: NGO Pro PKR Cabar Tun Mahathir Dialog

Putrajaya – NGO Pro PKR, Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mencabar bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tampil dalam sesi dialog ‘Hot Seat #Nothing2Hide’ bagi menjawab pelbagai persoalan dan dakwaan yang timbul sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun.

 

Ketua SAMM, Badrul Hisham Shaharin yang juga bekas calon PKR bagi DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang berkata tujuan program itu diadakan untuk membuktikan wujud kezaliman politik semasa pemerintahan Dr Mahathir membabitkan isu rasuah serta dakwaan menjatuhkan menteri lain.

 

 

“Kita beri peluang kepada Dr Mahathir menjawab sendiri dan orang ramai bertanya mengenai dakwaan yang timbul sepanjang 22 tahun pentadbirannya,” katanya kepada pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di Putrajaya hari ini.

 

Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegu Bard sebelum itu menyampaikan jemputan program tersebut kepada Dr Mahathir di YKP.

 

Menurut Chegu Bard, Dr Mahathir telah di beri kebebasan untuk menetapkan bila tarikh dan waktu yang sesuai dan pihak SAMM akan menguruskan program itu sebaik sahaja menerima jawapan positif daripada bekas Perdana Menteri itu.

 

Dalam pada itu, Chegu Bard turut menegaskan pendiriannya yang tidak pernah menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun Dr Mahathir sebaliknya meluahkan rasa kecewanya apabila ada sesetengah pihak yang dulunya pernah menggelar Dr Mahathir sebagai ‘maha firaun’ kini bertukar menjadi ‘maha suci’.

 

“Ini bukan soal menyebelahi Najib. Najib masih perlu menjawab persoalan mengenai 1MDB. Tetapi Dr Mahathir juga bukan watak hero, kerana dialah punca segala kemusnahan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.