Nazri Tidak Akan Halang Polis Siasat Dirinya

Sabak Bernam – Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan beliau tidak akan menghalang pihak polis melakukan siasatan terhadapnya berhubung kritikannya terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

 

“Laporan polis terhadap kenyataan saya telah dibuat dan polis bertanggungjawab untuk melakukan siasatan…itu tugas mereka.

 

“Segala siasatan terhadap saya juga akan dibawa ke pihak pendakwaan dan kita akan tengoklah sama ada cukup bukti untuk mendakwa saya…buat masa ini pihak polis belum memanggil saya untuk memberikan keterangan terhadap perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di sekitar Sekinchan, di sini, hari ini.

 

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan merekod kenyataan daripada menteri itu dalam masa terdekat.

 

Sementara itu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan masih menunggu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiapkan kertas Kabinet berhubung cadangan pemansuhan visa terhadap pelancong China ke negara ini.

 

Nazri berkata kertas Kabinet itu akan diteliti dahulu oleh jemaah menteri sebelum sebarang keputusan mengenai cadangan berkenaan dibuat.

 

“Kita kena buat satu tindakan untuk pastikan ada peningkatan jumlah pelancong dari China ke negara ini dan untuk itu kita cadangkan supaya visa pelancong China ini dimansuhkan.

 

“Buat masa ini kita masih menunggu kertas Kabinet daripada KDN untuk diteliti sebelum cadangan pemansuhan visa itu diluluskan,” katanya. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.