MT Orkim Mungkin Dirompak Lanun – APMM

Kuala Lumpur – Kehilangan kapal tangki MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik muatan petrol RON95 dianggarkan bernilai RM21 juta menjurus kepada rompakan lanun, kata Timbalan Ketua Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar.

 

Beliau berkata ini kerana tiada panggilan kecemasan diterima daripada kapal itu, selain tiada tanda ia menghadapi kemalangan ketika hilang pada 8.57 malam Khamis lepas.

 

Beliau juga menolak kemungkinan kapal itu dirampas dan anak kapal dijadikan tebusan, memandangkan sehingga 3.30 petang tadi tiada mana-mana pihak menghubungi untuk meminta wang tebusan.

 

“Kalau kapal bocor sekalipun, mesti kru kapal sempat membuat panggilan kecemasan. Jika karam atau kemalangan pasti ada tumpahan minyak.

 

“Tetapi setakat ini tiada tanda-tanda seperti itu. Jadi kebarangkalian kapal itu dirompak (lanun) adalah besar setakat ini,” katanya pada sidang media mengenai operasi mencari dan menyelamat (SAR) kapal itu hari ini.

 

Kapal MT Orkim Harmony sedang dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan apabila ia dilaporkan hilang.

 

Kapal tangki yang berdaftar di Malaysia itu membawa 22 orang kru dengan 16 daripadanya adalah warga Malaysia, lima rakyat Indonesia dan seorang warga Myanmar.

 

Ahmad Puzi berkata MT Orkim Harmony adalah kapal milik syarikat Magna Meridian Sdn Bhd dan muatan petrol yang dibawa adalah milik Petronas.

 

Menurutnya berdasarkan modus operandi kes rompakan terdahulu, muatan minyak akan dipindahkan ke kapal lain di tengah laut dan kru akan dilepaskan untuk mengendalikan semula kapal tersebut ke pelabuhan berhampiran.

 

Bagaimanapun, katanya, muatan petrol RON95 dibawa kapal MT Orkim Harmony adalah sukar dan berisiko untuk dipindahkan memandangkan ia mudah terbakar.

 

“Kami percaya mereka masih mencari kemudahan untuk memindahkan minyak kepada pelanggan mereka,” kata Ahmad Puzi sambil menambah bahan bakar kapal itu boleh bertahan selama 22 hari.

 

Beliau berkata kapal itu dilengkapi pelbagai alat perhubungan dan sistem pengesan yang boleh memberikan kedudukannya sepanjang masa, namun sehingga kini ia gagal dikesan.

 

Katanya operasi SAR besar-besaran melibatkan 10 buah kapal, tiga bot dan satu pesawat milik APMM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan kira-kira 1,500 anggota yang meliputi kawasan pencarian seluas 50,000 kilometer persegi diyakini akan membuahkan hasil sedikit masa lagi.

 

“Jika keadaan cuaca baik ia akan berada pada kelajuan konsisten. Kalau kapal menuju ke utara, pada ketika ini ia dijangka berada di perairan Vietnam, kalau ke timur ia akan berada di perairan Sabah.

 

“Tetapi jika sebelum sampai perairan Sarawak ia (kapal) belok ke kanan ia akan ke Pontianak (Kalimantan) atau lebih jauh ke Tanjung Priok berhampiran Jakarta,” jelasnya.

 

Ahmad Puzi juga tidak menolak kemungkinan kapal itu bersembunyi di perairan kepulauan Anambas dan Natuna (Indonesia).

 

Sehubungan itu, APMM dan TLDM membuat sekatan di semua laluan keluar daripada perairan negara , katanya.

 

Katanya APMM juga berhubung dengan semua pihak berkuasa negara-negara Asean serta mendapatkan kerjasama Amerika Syarikat dan Australia bagi menjejaki kapal itu.

 

Beliau berkata kehilangan kapal MT Orkim Harmony adalah kes keempat di Laut China Selatan pada tahun ini dengan tiga daripada kes itu merupakan rompakan.

 

Katanya APMM menyiasat kes kehilangan kapal itu daripada semua sudut termasuk latar belakang anak kapal serta laluan kapal tersebut.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa semua syarikat perkapalan untuk membuat laporan kepada pihaknya secepat mungkin sekiranya berlaku kecemasan atau kehilangan kapal bagi memudahkan pencarian. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.