Malaysia-Thailand Buru Individu Bernama ‘Yassin’

Putrajaya – Polis telah mengenal pasti individu bernama ‘Yassin’ dan sedang memburunya kerana disyaki menjadi ejen utama sindiket pemerdagangan manusia di sempadan negara.

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Yassin dikesan telah melarikan diri ke Thailand dan pihak berkuasa negara sedang memburunya dengan bantuan pasukan keselamatan Thailand.

 

“Kita telah mengumpul semua maklumat, malah Yassin yang dikatakan sebagai ‘kingpin’ utama itu telah dikenal pasti, tetapi dipercayai telah melarikan diri ke Thailand.

 

“Dengan kerja sama pihak berkuasa Thailand kita buru dan akan bawa Yassin balik untuk didakwa,” katanya dalam sidang media di kementeriannya selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Perancis ke Malaysia, Christophe Penot, pada Isnin.

 

Jelas Zahid, pihak berkuasa Thailand telah menyerahkan beberapa individu yang menjadi dalang sindiket pemerdagangan manusia namun jumlahnya dirahsiakan pihak berkuasa atas faktor keselamatan.

 

Sebelum ini, Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya berkata, Yassin merupakan satu nama besar dan dipercayai terlibat secara langsung “membeli” mangsa-mangsa jenayah pemerdagangan manusia ini.

 

Katanya individu tersebut menjadikan kawasan hutan Wang Kelian, Perlis sebagai kem-kem transit untuk menempatkan mangsa-mangsa pemerdagangan manusia sebelum diseludup masuk ke negara ini. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.