Konsert Wings Di Istana Budaya Tidak Laku?

Tinggal dua malam terakhir, konsert Wings, Bongkar – Ta’kan Melayu Hilang Di Dunia ‘melambai’ peminat muzik untuk datang menyaksikan persembahan dengan tawaran diskaun tiket sehingga 30 peratus.

 

Ketika ada pihak melihat konsert berkenaan kurang mendapat sambutan sehingga harga tiket terpaksa diturunkan, Ezat berkata mereka cuma mahu memberi peluang kepada lebih ramai orang untuk hadir.

 

“Sekiranya tidak la laku, pasti kami sudah buat diskaun sejak dari awal persembahan, bukannya untuk dua malam yang terakhir.

 

“Kami faham, segalanya sudah mahal apabila ada GST (cukai barangan dan perkhidmatan). Ia memberi kesan kepada orang ramai malah ia turut merencatkan niat peminat untuk menonton konsert ini,” jelasnya.

 

Sementara itu, vokalis Wings, Awie yang bertindak sebagai penerbit konsert menegaskan, pihaknya membuat keputusan untuk memberi diskaun istimewa itu bukan saja untuk menghargai peminat tegar, malah cara berterima kasih kepada mereka.

 

“Masih ada peminat tegar Wings yang belum sempat hadir ke Istana Budaya.

 

“Kami tiada hadiah lain yang boleh diberikan kepada peminat. Konsert dan persembahan terbaik ialah cara Wings menghargai peminat.

 

“Jadi, untuk malam ini dan esok, pembeli tiket berpeluang menikmati diskaun sebanyak 30 peratus untuk semua kelas,” katanya.

 

Sebelum ini tiket konsert yang memaparkan anggota Wings berpakaian lengkap bagai pahlawan Melayu dijual pada harga antara RM65 hingga RM450.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.