Kaji Semula Pakaian Atlet – Jamil Khir

Kuala Lumpur – Kerajaan akan mengkaji semula pakaian sukan untuk atlet berikutan timbulnya kritikan mengenai pakaian sendat (leotard) yang dipakai gimnas negara semasa Sukan SEA di Singapura baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

 

Kejayaan gimnas Farah Ann Abdul Hadi memenangi pingat emas tenggelam apabila gambar beliau di laman Facebook Buletin TV3 minggu lepas menarik kritikan pengguna media sosial yang tidak berkenan dengan pakaiannya yang mendedahkan aurat.

 

Jamil Khir memberitahu Dewan Rakyat semalam, isu yang boleh “memalukan dan mencemar” Islam mesti diberi perhatian serius.

 

“Kita ambil perhatian mengenai perkara ini supaya ia menjadi pengajaran, dalam bidang apa sekalipun, termasuk sukan, kita perlu melihat kepada isu pakaian,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia ke-11.

 

Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) yang bertanya sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada mengeluarkan peraturan berpakaian bagi atlet beragama Islam yang boleh dijadikan panduan Kementerian Belia dan Sukan.

 

“Bukan sahaja dalam bidang sukan, tetapi dalam semua bidang, Islam tidak menafikan tanggungjawab menutup aurat sama ada untuk lelaki atau wanita. Ini sesuatu yang tidak boleh dinafikan atau dicabar, kerana ini ajaran Islam.”

 

Pengguna media sosial berbeza-beza pandangan mengenai pakaian gimnas warna ungu Farah Ann, dengan ramai yang mengkritik mereka yang dianggap berpandangan sempit mengenai wanita dengan pakaian sukan.

 

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin juga mempertahankan gimnas itu, menasihatkan mereka yang berpandangan kritikal supaya tidak menjatuhkan hukuman terhadapnya.

 

Farah Ann hanya mengetepikan pandangan negatif pengkritik melalui tweetnya yang mengatakan “tin kosong membuat bunyi yang paling bising”.

 

Ahli Parlimen PAS yang membangkitkan perkara itu, Siti Zailah, sebelum ini pernah mengundang kontroversi apabila meminta kerajaan mengenakan tatacara berpakaian atas wanita bagi membendung jenayah seksual.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.