Jumlah Penerima BR1M Tahun Ini Turun 200,000

KUALA LUMPUR – Jumlah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di bawah kategori isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan menurun sebanyak 200,000 orang tahun ini berbanding tahun lepas.

 

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong berkata, perkembangan positif itu dipercayai hasil pelaksanaan pelbagai program bantuan oleh kerajaan termasuk pinjaman mikrokredit yang menggalakkan penerima menceburkan diri dalam bidang perniagaan.

 

“Terdapat penurunan bagi penerima bagi kategori RM3,000 iaitu 4.3 juta penerima pada 2014 kepada 4.1 juta pada tahun ini.”

 

“Ini bermakna penerima BR1M tidak akan terus menerima bantuan ini apabila terdapat peningkatan pendapatan isi rumah mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Noor Azmi Ghazali (BN-Bagan Serai) di sini.

 

Noor Azmi ingin tahu sama ada BR1M akan diperkukuhkan sebagai program jaringan keselamatan sosial selain jumlah penerima yang dijangka dapat dilepaskan daripada menerima bantuan berkenaan.

 

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai keciciran nama penerima bantuan, Chua menegaskan BR1M hanya diberikan kepada mereka yang lulus tapisan semakan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan bagi meringankan bebanan rakyat berpendapatan rendah.

 

“Bagi mengurangkan ketirisan dan memastikan mereka yang layak sahaja menerima bantuan, proses semakan dilaksanakan secara menyeluruh setiap tahun membabitkan pelbagai agensi termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.

 

Sehingga kini, sebanyak RM13 bilion diperuntukkan bagi pengagihan BR1M yang memanfaatkan hampir 7.2 juta penerima, katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.