JPNT Tubuh Pasukan Cyber Troopers

Kuala Terengganu – Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) menubuhkan satu pasukan ‘Cyber Troopers’ dalam kalangan warga pendidik bagi menangkis persepsi negatif berhubung isu semasa dan khabar angin.

 

Pengarahnya, Shafruddin Ali Hussin berkata pasukan itu dianggotai kira-kira 40 guru di setiap daerah yang bertanggungjawab memberikan maklumat tepat dan menyebarkan berita yang sahih menerusi media sosial sekolah.

 

“Jika kita lihat saban hari di laman sosial banyak berita yang tidak betul timbul contohnya seperti amaran tsunami, gempa bumi dan sebagainya, ia telah menimbulkan rasa panik.

 

“Jadi pasukan Cyber Troopers ini akan melakukan semakan serta mendapatkan maklumat yang sahih untuk disebar luaskan kepada warga sekolah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPNT di sini Selasa.

 

Beliau berkata dengan maklumat tepat yang diperoleh itu juga akan disampaikan kepada anggota keluarga dan rakan sekaligus dapat mengelakkan timbulnya rasa cemas.

 

“Kumpulan ini mempunyai pelbagai cara untuk menyebarkan maklumat seperti aplikasi Whatsapp dan Telegram dan kita yakin maklumat tepat ini akan tersebar dengan cepat pada kumpulan-kumpulan yang lain,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.