Hentikan Pertempuran Di Yaman Sepanjang Ramadan

Geneva – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon menggesa semua pihak berkaitan supaya menghentikan pertempuran di Yaman, sepanjang Ramadan yang akan bermula Khamis ini.

 

Ban yang ditemui di Geneva bersama beberapa delegasi terbabit dalam rundingan damai tajaan PBB itu berkata, beliau telah menekankan kepentingan melaksanakan gencatan senjata kemanusiaan sekurang-kurangnya untuk dua minggu.

 

“Gencatan senjata sementara itu tidak mencukupi untuk mendapatkan bantuan yang amat diperlukan rakyat Yaman serta menilai kemusnahan besar di sana,” katanya.

 

Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak berkaitan mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya, dengan pengunduran semua kumpulan bersenjata dari negara itu.

 

Gencatan senjata selama lima hari yang dilaksanakan sebelum ini, berulang kali dicabuli dan menyukarkan kumpulan bantuan kemanusiaan untuk membantu rakyat terjejas.

 

Konflik di Yaman membabitkan Presiden dibuang negeri, Abed Rabbo Mansour Hadi; kumpulan pemberontak Houthi yang menawan ibu negara Sana’a, tahun lalu serta unit tentera setia kepada bekas Presiden, Ali Abdullah Saleh.

 

Tidak cukup dengan itu, sekutu tentera yang diketuai Arab Saudi memburukkan keadaan, dengan melancarkan serangan ke atas Houthi dan sekutu mereka sejak 26 Mac lalu, sejurus selepas Hadi melarikan diri dari selatan Yaman.

 

Rundingan damai di Geneva dijadualkan berlangsung selama dua hingga tiga hari, dengan orang tengah akan berjumpa pihak berkaitan secara berasingan yang diharapkan akhirnya akan membolehkan mereka duduk semeja.

 

Menurut Ban, delegasi terakhir dijangka tiba di Geneva pada lewat petang atau malam ini.

 

Delegasi Houthi meninggalkan Sana’a pada Ahad, sehari selepas sebuah pesawat yang disediakan khas untuk membawa kumpulan pemberontak itu dan sekutu mereka ke Geneva, terpaksa meninggalkan Yaman tanpa delegasi berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.