Empat Pemimpin PAS Mungkin Dipecat Bila-Bila Masa

PULAU PINANG – Seramai empat ahli Pas yang ketika ini memegang jawatan sebagai Ahli Majlis dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) difahamkan akan dipecat daripada jawatan masing-masing pada bila-bila masa.

 

Utusan Malaysia difahamkan, surat arahan supaya keempat-empat mereka itu dipecat sudah pun dikeluarkan dan hanya menunggu masa untuk diserahkan kepada individu berkenaan.

 

“Empat Ahli Majlis daripada Pas mungkin bakal menerima surat pemecatan sebab surat arahan sudah keluar supaya mereka letak jawatan,” demikian menurut sumber kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

 

Keempat-empat mereka itu ialah Koordinator Markas Induk Pas Kawasan Bukit Gelugor, Mhd. Nasir Yahya dan Yang Dipertua Pas Kawasan Tanjong, Yacoob Omar yang merupakan Ahli Majlis MBPP.

 

Dua lagi ialah Yang Dipertua Pas Kawasan Permatang Pauh, Omar Hassan dan ahli Pas Kepala Batas, Dahalan Fazil yang merupakan Ahli Majlis MPSP.

 

Sebelum ini, keempat-empat mereka menjadi sasaran Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatannya yang juga Ketua Menteri, Lim Guan Eng supaya melepaskan jawatan susulan tindakan Muktamar Pas meluluskan tanpa bahas usul Dewan Ulama yang menggesa parti itu dan Majlis Syura Ulama memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Menurut Guan Eng, kepemimpinan baharu Pas sepatutnya mengarahkan keempat-empat Ahli Majlis berkenaan melepaskan jawatan selepas mempersoalkan bagaimana mereka boleh berkhidmat untuk Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan efektif memandangkan parti mereka sudah memutuskan hubungan dengan DAP.

 

Kemuncak kepada desakan DAP itu adalah tindakan memecat Setiausaha Pas negeri, Mohd. Fadzil Kemi daripada jawatannya sebagai Pegawai Penerangan kepada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang berkuat kuasa Jumaat lalu.

 

Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus berkata, beliau tidak mempunyai maklumat sama ada lebih ramai ahli Pas dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang akan dipecat selepas ini.

 

Setakat ini, menurutnya, surat pemecatan hanya diserahkan kepada Mohd. Fadzil yang sudah pun mengesahkan menerima surat tersebut.

 

“Saya tidak tahu jika ada orang lain yang akan dipecat selepas ini kerana sehingga hari ini, hanya satu surat sahaja yang telah diserahkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

 

Dalam pada itu, tiga Ahli Majlis daripada Pas berkenaan iaitu Mhd. Nasir; Yaacob dan Dahalan memaklumkan mereka setakat ini belum menerima apa-apa surat daripada kerajaan negeri manakala Omar pula gagal dihubungi. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.