DAP Tidak Akan Kerjasama Dengan PAS Johor

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menegaskan, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Datuk Mahfodz Mohamed yang baru dilantik Pesuruhjaya PAS Johor, memandangkan beliau merupakan pencadang usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP semasa muktamar baru-baru ini.

 

Beliau berkata, kenyataan Mahfodz sebelum ini yang ingin menemui kepimpinan DAP di selatan tanah air itu bersifat “kurang integriti”.

 

“Saya tidak nampak ruang kerjasama antara DAP dan PAS Johor,” kata Liew dalam satu kenyataan hari ini.

 

Liew bagaimanapun turut mengucapkan tahniah kepada Mahfodz yang dipilih memegang jawatan tersebut ketika pemilihan PAS baru-baru ini.

 

Beliau juga mengucapkan tahniah kerana ketua Dewan Ulama PAS itu juga pernah menyandang jawatan sama dari tahun 2005 hingga 2013 sebelum ini.

 

Mahfodz semalam dilaporkan menyatakan hasrat berjumpa dengan kepimpinan DAP Johor dan menyuarakan keinginan meneruskan kerjasama dengan DAP dan Pakatan Rakyat (PR).

 

Pada muktamar PAS minggu lepas, beliau membawa usul memutuskan hubungan dengan DAP dan usul berkenaan diluluskan tanpa bahas.

 

“Oleh itu, saya kira kenyataan Mahfodz yang tiba-tiba ingin meneruskan hubungan dengan DAP ialah kenyataan yang kurang integriti,” kata Liew.

 

Liew berkata, DAP Johor akur kepada keputusan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan mesyuarat Jawatankuasa Negeri Johor yang akan diadakan selepas mesyuarat itu.

 

Liew berkata, kemenangan puak konservatif dalam pemilihan PAS, yang seterusnya menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Umno, serta keputusan muktamar memutuskan hubungan dengan DAP menjadi langkah pertama dalam “membunuh” gabungan pembangkang itu.

 

“DAP Johor akan bekerjasama dengan pihak yang ingin menjatuhkan kuasa Umno dalam pilihan raya akan datang, termasuk golongan progresif PAS bagi mendapat sokongan seluruh rakyat dan menewaskan Umno,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.