Bapa Dan Isteri Berebut Mayat Oniya

PROSES menghantar pulang mayat kapten pasukan T-Team, David Oniya masih menjadi tanda tanya, sama ada ke negara kelahirannya di Nigeria ataupun ke negara isterinya di Uzbekistan, lapor ZUBIR SULAIMAN.

 

Ini kerana sebelum ini, bapa kepada benteng pertahanan itu, James Oniya ada meminta supaya mayat anaknya dihantar pulang ke kampung kelahirannya di Lagos, Nigeria, namun isterinya, Rogozina Lyubov dikatakan mahu mayat suaminya itu dihantar pulang ke negaranya di Uzbekistan.

 

Begitu pun, Ketua Pegawai Operasi T-Team, Mohd Syahrizan Mohd Zain mengharapkan isu tuntutan mayat mendiang David Oniya tidak menimbulkan sebarang masalah apabila kedua-dua pihak terbabit tiba di negara ini dalam masa terdekat, sekali gus mencapai persetujuan bersama.

 

Menurutnya, sebelum ini pihaknya menerima arahan supaya menghantar pulang mayat Oniya ke Nigeria, tetapi sekarang pihaknya mendapat tahu bahawa isteri pemain berusia 30 tahun itu turut meminta mayat suaminya dihantar ke Uzbekistan.

 

“Kita harap masalah tuntutan mayat mendiang Oniya tidak menimbulkan perbalahan antara bapa dan isterinya, sebaliknya mencapai persetujuan bersama kedua belah pihak. Kami difahamkan isterinya akan tiba di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) hari ini dan ikuti bapanya, James Oniya beberapa hari selepas itu.

 

“Jadi, kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk memastikan proses penghantaran mayat mendiang Oniya berjalan lancar, dan mengharapkan proses menghantar pulang mayat mendiang tidak akan berpanjangan,” katanya di sini, semalam.

 

Dalam pada itu, Mohd Syahrizan berkata, ejen pemain, Felix Ndukwu dijadual tiba di Kuala Terengganu hujung minggu ini dan akan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan konflik itu.
Katanya, pihaknya ada berbincang dengan Felix mengenai perebutan mayat mendiang, namun mahu menyelesaikan secara bersemuka dengan mereka.

 

“Felix ada bercakap dengan James (Oniya) sebelum ini, dan beberapa perbincangan serta pilihan diberikan keluarga pemain, termasuk mahu kebumi Oniya di Kuala Terengganu,” katanya.‎

 

Difahamkan, mayat pemain itu masih berada di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.