Bantuan Disalurkan Kepada Penduduk Di Ranau – PM

Kuala Lumpur – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata bantuan akan terus disalurkan kepada penduduk di Ranau dan kawasan sekitarnya bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara ekoran gempa bumi dan banjir yang berlaku.

 

Menurutnya bantuan itu juga termasuk membaik pulih infrastruktur yang mengalami kerosakan akibat bencana berkenaan.

 

“Pagi tadi, saya menerima laporan bahawa keadaan banjir di Ranau, Sabah semakin buruk. Maka, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah mengaktifkan gerakan bantuan dan operasi memindahkan penduduk yang terjejas,” katanya dalam laman Facebook beliau Selasa.

 

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau pada 5 Jun lepas meragut 18 nyawa, selain gempa bumi 5.1 pada skala Richter pada Sabtu (13 Jun) serta beberapa gempa bumi susulan.

 

Semalam, penduduk di Kampung Mesilau, di Kundasang turut berdepan banjir lumpur susulan kejadian tanah runtuh kesan daripada gempa bumi itu.

 

Berikutan keadaan itu, semua agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia akan memantau keadaan di Sabah secara berterusan dalam tempoh beberapa bulan ini, terutamanya di Ranau dan kawasan sekitarnya.

 

“Bersama-sama kita berusaha dan berdoa untuk keselamatan saudara-saudara kita di Sabah,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.