Adenan Mahu Bersara Selepas 5 Tahun

Kuching – Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berkata beliau hanya memerlukan 5 tahun lagi untuk memimpin Sarawak sebelum bersara.

 

“Faktor umur dan kesihatan menghalang saya untuk memimpin Sarawak lebih daripada tempoh itu,” kata Adenan ketika berucap merasmikan Seminar Kepimpinan Akar Umbi Negeri Sarawak Bahagian Kota Samarahan di Kuching, hari ini.

 

Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi memberi beliau mandat penuh 5 tahun lagi sebagai ketua menteri bagi membolehkan beliau meneruskan usaha serta tugas-tugas yang masih belum sempat beliau tunaikan untuk rakyat dan negeri itu sejak dilantik sebagai ketua menteri pada 28 Februari tahun lalu.

 

Antara perjuangannya yang belum tercapai ialah untuk mendapatkan persetujuan kerajaan pusat untuk menaikkan peratusan royalti minyak dan gas sebanyak 20% serta mengurangkan jurang kemiskinan antara masyarakat bandar dan luar bandar.

 

Adenan, 71, berkata beliau memohon kepada kerajaan pusat untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta untuk pembangunan luar bandar Sarawak yang masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

 

Mengenai pendatang asing tanpa izin di Sarawak, beliau mahu supaya Jabatan Imigresen sentiasa membuat pemantauan serta mengambil tindakan tegas termasuk menahan dan menghantar mereka pulang ke negara asal.

 

Menurut Adenan, beliau menerima laporan bahawa terdapat rakyat Pakistan yang menjalankan perniagaan di negeri itu tanpa permit dan mahu supaya Jabatan Imigresen bertindak ke atas mereka.

 

Sementara itu, beliau menegaskan Sarawak tidak memerlukan parti politik dari Semenanjung Malaysia untuk datang ke negeri itu termasuk Umno.

 

“Kita orang Sarawak tahu bagaimana untuk mentadbirkan negeri kita sendiri dan saya sudah beritahu Perdana Menteri sendiri bahawa kita tidak mahu Umno datang ke Sarawak,” tambahnya.

 

Katanya, beliau juga akan terus dengan dasar untuk menyekat kemasukan individu dan kumpulan ekstremis dari Semenanjung Malaysia ke negeri itu. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.