Dua usahawan Saman Influencer TikTok ‘Anarchy Sky’ atas tuduhan fitnah

- Advertisement -

Dua usahawan wanita, Norzaida Binti Hadis dan Rogayah Binti Hanipah telah mengadakan sidang media bersama pasukan peguam mereka bagi mengumumkan tindakan undang-undang yang akan diambil terhadap seorang pempengaruh TikTok yang dikenali sebagai Ahmad Faizal Bin Sulaiman atau nama TikTok-nya, Anarchy Seven Sky.

Norzaida, 40 tahun, merupakan pengusaha perniagaan A & A Car Rental yang berpusat di Senawang, manakala Rogayah, 50 tahun, adalah pengasas butik Butter Luv Abaya yang beroperasi di Kuala Lumpur dan Dubai. Kedua-dua wanita ini aktif menjalankan perniagaan mereka menerusi platform TikTok di bawah nama Anne Aqish dan MadamGeeLuv.

Mereka diwakili oleh Puan Risma Yurini Binti Rizrul, penasihat undang-undang dari firma Zati Khairiah & Partners, serta peguam Arieff Zackry Zohary. Sidang media diadakan sebagai respons terhadap tuduhan fitnah dan kenyataan berunsur aib yang dibuat oleh Ahmad Faizal terhadap kedua-dua anak guam melalui siaran langsung di akaun TikTok beliau.

Menurut Puan Risma, notis tuntutan undang-undang telah diserahkan secara rasmi kepada Ahmad Faizal pada 15 Mei 2025. Notis tersebut menuntut agar beliau membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung pelbagai dakwaan tidak berasas yang mencemarkan reputasi anak guam mereka. Namun begitu, Ahmad Faizal dikatakan enggan memohon maaf dan malah secara angkuh mencabar tindakan undang-undang dengan menyatakan beliau tidak akan tunduk kepada tuntutan tersebut.

Kes ini bermula pada penghujung April apabila berlaku perselisihan berhubung pengurusan sumbangan untuk program amal yang dianjurkan oleh pihak Ahmad Faizal. Sumbangan kewangan oleh kedua-dua wanita tersebut dipercayai disalurkan ke akaun peribadi Ahmad Faizal, bukan ke akaun rasmi pertubuhan berdaftar. Ini menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan akauntabiliti dana tersebut.

Antara tuduhan yang dilemparkan oleh Ahmad Faizal termasuk mendakwa Rogayah dan Norzaida sebagai “pengkhianat”, “tidak ikhlas”, dan mempunyai niat untuk “menjatuhkan beliau” dengan bersekongkol bersama pihak yang dianggap sebagai ‘musuhnya’. Malah, kata-kata berunsur lucah dan penghinaan turut diucapkan secara terbuka dalam siaran langsung TikTok, mengakibatkan tekanan emosi kepada kedua-dua wanita tersebut.

Menurut Rogayah, gangguan berterusan telah menjejaskan perniagaan dan reputasinya, termasuk memaksanya menangguhkan perjalanan perniagaan ke Dubai, serta menanggung kerugian mencecah ratusan ribu ringgit. Malah, beliau mengakui kini mengalami gangguan emosi dan perlu mendapatkan rawatan untuk masalah tidur.

Norzaida pula menyatakan bahawa beliau turut menerima kecaman di media sosial serta kehilangan pelanggan dan sokongan daripada komuniti TikTok, yang secara langsung menjejaskan perniagaan kereta sewanya. Beliau juga mengalami tekanan emosi dan perasaan trauma akibat fitnah dan penghinaan berterusan.

Peguam memaklumkan bahawa laporan kepada pihak berkuasa termasuk MCMC akan dibuat. Mereka juga sedang dalam proses memfailkan saman fitnah di mahkamah bagi menghentikan penyebaran kenyataan tidak berasas oleh Ahmad Faizal.

Menurut pasukan peguam, mereka memberikan tempoh tujuh hari kepada Ahmad Faizal untuk menarik balik kenyataan dan membuat permohonan maaf. Namun, beliau menolak dengan mengatakan “tidak perlu tunggu tujuh hari, saman sahaja,” yang mendorong pihak mereka untuk meneruskan proses undang-undang.

Kedua-dua wanita berharap tindakan undang-undang ini dapat membersihkan nama baik mereka yang telah tercemar akibat fitnah yang dilemparkan. Mereka turut menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam membuat sebarang bentuk sumbangan atau penglibatan dalam aktiviti yang tidak jelas sumber dan tujuannya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat