KUALA LUMPUR, – Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kini tampil dengan logo baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh identiti serta hala tuju peranannya dalam menyemai semangat perpaduan nasional.
Logo baharu ini yang dilancarkan oleh Kementerian Perpaduan Negara menggantikan rekaan lama yang telah digunakan sejak 2005, dengan penampilan lebih moden, segar dan sarat dengan simbolik, bertepatan dengan tema “Memperkasa Komuniti, Memperkukuh Perpaduan”.
Menurut kenyataan kementerian, penjenamaan semula ini bukan sekadar perubahan visual, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkasakan institusi komuniti akar umbi agar kekal relevan dan progresif dalam menghadapi cabaran semasa.
“KRT telah menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara kaum serta menyemai nilai kejiranan sejak penubuhannya pada tahun 1975. Ia merupakan antara langkah strategik kerajaan pasca peristiwa 13 Mei 1969 bagi mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” kata kementerian.
Sepanjang hampir lima dekad penubuhannya, KRT memainkan peranan signifikan dalam menjayakan pelbagai inisiatif sosial dan keselamatan komuniti seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS), program pendidikan, bantuan kebajikan serta pembangunan remaja dan wanita. Usaha ini telah menyumbang kepada peningkatan tahap toleransi, harmoni dan semangat kesukarelawanan di kawasan perumahan.
Malah, semasa negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, pasukan KRT turut turun padang sebagai barisan hadapan dalam pengedaran bantuan, pelaksanaan inisiatif MOVAK dan sokongan moral kepada komuniti setempat.
Kini, dengan lebih 8,500 KRT aktif di seluruh negara, usaha memperkukuh perpaduan terus digerakkan di peringkat lokaliti.
Logo baharu KRT direka berasaskan bentuk segi lima sekata, melambangkan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan nasional. Di tengah logo, lima figura manusia berganding bahu mewakili kepelbagaian kaum yang hidup dalam muafakat. Figura ini dihasilkan daripada garisan putih bersambung sebagai simbol jiwa murni, ketelusan dan kesatuan.
Warna merah yang digunakan menggambarkan semangat jati diri rakyat Malaysia yang kental dalam mempertahankan keharmonian dan keamanan negara.
Kementerian Perpaduan Negara berharap pelancaran logo baharu ini mampu menyuntik semangat baharu dalam gerakan perpaduan nasional serta memperkukuh peranan komuniti sebagai ejen penyatuan rakyat Malaysia.
“Kami menyeru seluruh rakyat agar terus mendukung nilai-nilai perpaduan dan menjadikan Rukun Negara sebagai panduan hidup bersama. Hanya dengan semangat bersatu dan saling memahami, kita mampu membina masa depan negara yang lebih aman, makmur dan sejahtera,” ujar kementerian dalam kenyataan itu.