KUALA LUMPUR – Permohonan pertukaran guru boleh dibuat selepas berkhidmat cukup dua tahun tanpa syarat adalah antara enam berita gembira diterima warga pendidik di seluruh negara sempena sambutan Hari Guru Ke-54 yang diraikan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Sarawak hari ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengumumkan perkara itu dalam ucapan aluannya sempena sambutan berkenaan yang dihadiri kira-kira 5,000 guru.
Selain itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut menyediakan seramai 1,470 orang personel MyPg iaitu pembantu guru bagi tahun ini dan sekolah terpilih berdasarkan kriteria ditetapkan akan menerima dua pembantu guru terbabit.
Bagi inisiatif ketiga, seramai 32 guru dalam kalangan penerima Anugerah IKON, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Khas Pendidikan dan Anugerah Guru Berwibawa sempena sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan bakal melalui pengalaman bertugas di sekolah antarabangsa di United Kingdom secara percuma di bawah Program Global Immersion For Future-Ready Teachers (GIFT).
Inisiatif keempat, KPM akan menghantar guru dan pegawai terpilih untuk mengikuti program kursus jangka pendek di luar negara untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam beberapa bidang terpilih, lapor BH di Sarawak.
Bagi inisiatif Kelima, diskaun 20 peratus diberi bagi pembelian tiket penerbangan kepada guru ke seluruh destinasi melalui portal MH GoM, manakala inisiatif ke enam ialah pemberian diskaun buku antara 20 hingga 30 peratus bagi pembelian secara dalam talian menggunakan ID DELIMa KPM.