Permohonan Bekas ADUN Behrang Sertai PPBM Ditolak

IPOH – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi yang dikaitkan dengan pengkhianatan kepada kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak pada tahun 2008, telah ditolak permohonannya untuk menyertai PPBM tanpa rundingan.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu yang juga Ketua Pakatan Harapan Perak berkata, keputusan itu diambil berdasarkan prinsip bahawa setiap kemasukan individu ke dalam Pakatan Harapan akan dipertimbang dengan tegas supaya segala episod duka rakyat tidak berulang.

“Saya selaku Pengerusi PPBM Perak ingin memaklumkan bahawa saya telah hadir ke satu majlis dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin semalam di Hotel Kinta Riverfront.

“Kehadiran saya tidak lain hanya untuk menerima kemasukan beliau serta meraikan penyertaan yang lain sebagai tanda sokongan kepada PPBM peringkat negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Penerangan Keadilan Perak, Senator Siti Aishah Shaik Ismail dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Pejabat PKR negeri di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata demikian bagi menjelaskan kehadiran Jamaluddin pada majlis semalam yang hanya disedari beliau selepas sesi sidang akhbar.

Sementara itu, Siti Aishah berkata, Ahmad Faizal meraikan penyertaan mana-mana pihak tetapi tapisan akan dibuat dengan merujuk kepada Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Perak.

Selain itu tegasnya, penyertaan mana-mana individu tidak menjadi asas kepada sebarang bentuk penawaran jawatan mahupun tempat dalam setiap posisi pentadbiran politik di negeri ini. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.