Peralihan Kuasa PM Dari Mahathir Kepada Anwar Perlu Tersusun – Abdul Hadi

KUALA NERUS – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengingatkan parti pemerintah (Pakatan Harapan) supaya tidak menyusahkan rakyat dalam isu peralihan kuasa perdana menteri.

Hadi berkata, proses peralihan kuasa daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dilakukan mengikut prosedur betul dan baik, serta tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat.

Anwar dibebaskan hari ini daripada hukuman penjara selepas Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan penuh kepadanya.

Pengampunan diraja akan memansuhkan sekatan bagi Anwar menyertai politik selama 5 tahun selepas dibebaskan, bermakna bekas ketua pembangkang itu boleh menyertai poltik serta-merta, menyebabkan ramai yang mengatakan Anwar boleh mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir.

“Kita harap proses itu tidak menimbulkan kesusahan kepada rakyat melalui proses yang betul, baik dan menjamin. Tetapi yang penting, Islam mesti menguasai negara…itu saya nak lihat kerana majoriti masyarakat Malaysia adalah orang Islam.

“PAS akan bersama pemimpin yang mempertahankan Islam dan kita akan cuba pertahan. Sebarang langkah yang menjejaskan umat dan Islam, PAS akan berdiri teguh mempertahankannya,” katanya selepas Himpunan Kesyukuran Kerajaan Rakyat Terengganu di Stadium Sultan Mizan, malam tadi.

Kira-kira 10,000 orang menghadiri perhimpunan itu bagi meraikan kemenangan PAS menawan semula Terengganu daripada Barisan Nasional.

Turut hadir Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar, exco negeri dan penceramah bebas terkenal, Azhar Idrus.

Hadi juga berharap kerajaan pusat dapat menghormati konsep kerajaan federalisme yang diamalkan di negara ini.

“Kita telah terima pilihan rakyat yang memilih PH sebagai pemerintah. Kena terimalah sebab rakyat dah pilih begitu.

“Cuma kita harap konsep federalisme ini mestilah dihormati. Kalau kita dah terima pusat jadi kerajaan, merka (pusat) kena terima jugalah kerajaan negeri kerana pilihan rakyat Terengganu juga begitu.”

Sebelum ini, PAS melalui kepimpinan pusat dan negeri konsisten dalam memperjuangkan isu royalti minyak dan akan terus menuntut janji daripada kerajaan PH untuk memulangkan 20% hasil minyak kepada negeri pengeluar seperti yang dinyatakan dalam manifesto pilihan raya umum ke-14. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.