Masih Ada Harapan Satu Lagi Keajaiban Buat Yu En

Masih ada harapan bagi satu lagi keajaiban untuk Yu En, bayi perempuan pramatang yang terselamat dalam kemalangan jalan raya di Singapura pada Sabtu lalu yang meragut nyawa ibunya Goh Chieh Ting.

Para doktor berjaya menyelamatkan janin berusia 24 minggu dalam satu pembedahan sejurus selepas kemalangan tersebut.

Yu En dilaporkan berada dalam keadaan stabil di Hospital Universiti Nasional Singapura.

Bayi itu diletakkan dalam inkubator di Unit Penjagaan Intensif Neonatal untuk tempoh tiga hingga empat bulan akan datang, kata kakak ipar Goh, Nicole Yuen, dipetik sebagai berkata oleh akhbar The Straits Times semalam.

“Yu En kehilangan ibunya sehari sebelum sambutan Hari Ibu,” kata Yuen.

Goh, 25, dari Johor, hamil enam bulan apabila dia dilanggar oleh sebuah lori ketika melintas jalan di Jurong West Avenue 1 bersama ibu mentuanya kira-kira jam 8 pagi pada Sabtu.

Ibu mertuanya terselamat dalam insiden itu.

Goh yang mendirikan rumahtangga tahun lepas, dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong tetapi meninggal dunia pada 9.30 pagi.

Goh dilaporkan mempunyai permit lawatan jangka panjang dan tinggal berdekat kawasan kemalangan bersama mentuanya.

Upacara pengebumian diadakan semalam.- Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.