Basikal Jepun Jadi Kegilaan

Hampir 2,500 basikal sama ada jenis moden ataupun klasik dihimpunkan di dalam premis yang terletak di Lorong Sintar Indah 1, Nibong Tebal.

Pilih sahaja sama ada basikal lipat, klasik seperti yang digunakan posmen, dilengkapi tempat duduk bayi ataupun beroda tiga, semuanya boleh didapati di premis Shin Dot Com Enterprise itu, lapor Utusan.

Menurut pemiliknya, Sim Li Ling, idea memperkenalkan perniagaan itu bermula apabila dia dan suami sering berulang alik ke Jepun untuk mendapatkan alat ganti kereta.

“Basikal yang ada di premis ini adalah terpakai dari Jepun dan diperolehi ketika saya mengikuti suami ke sana bermula pada 2015.

“Saya dapati basikal di negara Matahari Terbit itu agak unik dan apabila balik ke Malaysia, saya dapati permintaan basikal Jepun agak tinggi berbanding dari negara lain,” katanya.

Tambahnya, di Jepun ramai rakyatnya menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama untuk bergerak ke mana-mana dan pengeluaran basikal amat tinggi saban tahun.

Katanya, disebabkan itu banyak basikal terpakai apabila pemiliknya menukar basikal baharu selepas hanya setahun digunakan dan akan dihantar ke luar negara.

Malah, dia dan suami mengambil kesempatan itu untuk menjual basikal yang diambil dari negara itu.

“Harga basikal yang ditawarkan di sini adalah antara RM200 hingga RM1,000 mengikut jenis dan keunikannya. Harga asal boleh mencecah RM2,000 atau lebih.

“Antara pelanggan utama basikal di sini adalah kilang-kilang yang memiliki pekerja asing yang menyediakan pengangkutan itu kepada pekerja mereka.

“Selain itu, ada juga pelanggan saya dari Singapura yang datang mendapatkan basikal yang unik ini iaitu basikal tanpa rantai yang hanya ada tiga buah seumpama­nya di negara ini,” katanya.

Li Ling berkata, pelanggannya yang membeli basikal boleh membayar deposit terlebih dahulu dan memberi masa dua minggu untuk dilakukan kerja-kerja pembaikan.

Menurutnya, mekanik akan menggunakan alat ganti daripada basikal sama yang ada di situ dan pelanggan pastinya puas hati de­ngan kualiti basikal dibeli mereka.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.