Abdul Hadi Selamat Jalani Pembedahan Ganti Injap Jantung Di IJN

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah berjaya menjalani pembedahan penggantian injap pada jantung di Institut Jantung Negara (IJN) disini hari ini.

Pengurus Kanan Kumpulan Komunikasi Korporat IJN, Aina Jamil dalam satu kenyataan di sini berkata, Ahli Parlimen Marang itu telah mengalami peningkatan simptom disebabkan oleh injap jantung yang bocor.

Katanya, keadaan itu menjejaskan aktiviti harian beliau, maka doktor menasihatkan agar pembedahan injap jantung dilakukan.

“Pada masa ini, Abdul Hadi dirawat di Unit Rawatan Rapi IJN di mana keadaan beliau akan dipantau untuk beberapa hari sebagai sebahagian daripada rutin bagi pembedahan jantung.

“Kira-kira 48 jam akan datang adalah tempoh yang penting selepas pembedahan dan beliau akan berada di bawah pemerhatian rapi sepasukan doktor dan jururawat di Unit Rawatan Rapi,” katanya di sini.

Tambah beliau, Abdul Hadi telah menjalani pembedahan jantung selama tiga jam pada awal pagi tadi bagaimanapun waktu spesifik tidak dimaklumkan dalam kenyataan tersebut.

Pembedahan jantung itu dilakukan oleh panel doktor yang diketuai oleh Perunding Kanan, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhari Yakub, Pakar Bedah Kardiotorasik yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Sri Dr.Jeffrey Jeswant Dillon selaku Ketua Pembedahan Kardiotorasik dan Timbalan Ketua Jabatan Anestesiologi, Datuk Dr. Suhaini Kadiman.

“Para doktor merasa gembira dengan prosedur yang berlangsung seperti yang dijangkakan dan setakat ini parameter penting menunjukkan beliau stabil dan (doktor) telah menasihatkan supaya Abdul Hadi tidak menerima pelawat (luar) kecuali daripada ahli keluarga terdekat,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.