PAS Tetap Tanding PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar – Abdul Hadi

KUALA LUMPUR – Pas bertegas akan meletakkan calonnya ada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan berlangsung Jun depan.

 

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi berkata Majlis Syura parti itu telah meluluskan nama-nama calon yang bakal bertanding pada PRK itu.

 

“Kita (Pas) sudah membuat keputusan untuk bertanding (pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar). Sudah diluluskan oleh Majlis Syura nama-nama (calon yang akan bertanding),” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

 

Tambahnya, parti itu akan mengumumkan nama-nama calon pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

 

Mengulas berkenaan peluang kemenangan Pas pada dua PRK tersebut, Abdul Hadi berkata Pas mempunyai peluang yang besar selain mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

 

“Kita kalau bertanding, Pas tidak rugi, sama ada menang atau kalah, kalau menang, kita untung, kalau kalah, kita balik modal. Barisan Nasional (BN) kalau kalah, mereka rugi, tapi kalau menang, mereka balik modal. Parti lain boleh mengadu nasib.

 

“Kita tidak boleh paksa (parti lain tidak bertanding). Kita ada akar umbi yang kuat,” katanya.

 

Kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak kosong berikutan dua penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

 

Susulan itu juga Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh PRK bagi kedua-dua kawasan dijalankan serentak pada 18 Jun nanti. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!