Kota Bharu Kering Tanpa Hujan Lebih 40 Hari

PETALING JAYA – Sudah 43 hari ibu kota Kelantan, Kota Bharu tidak menerima hujan, sekali gus menjadikan ia antara negeri yang melalui musim kemarau paling panjang.

 

Menurut laporan The Star Online, keadaan itu menyebabkan banyak tasik dan telaga kering selain meningkatkan lagi suhu di kawasan tertentu di negeri tersebut.

 

Sungai-sungai kecil dan sumber air juga merekodkan penyusutan drastik ekoran fenomena yang dikaitkan dengan El-Nino.

 

Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kuala Krai mencatat suhu 37.2 darjah celcius pada Sabtu lepas.

 

Bacaan itu diklasifikasi lebih baik berbanding rakaman suhu sebelum ini iaitu 38.9 darjah celcius pada 12 April lalu, dan menurun kepada 38.5 pada keesokan harinya, serta semakin menurun dua hari kemudian dengan catatan 38 darjah celcius.

 

Pada 11 Mei lalu, Kelantan terutama daerah Kuala Krai sekali lagi merekodkan bacaan suhu tertinggi dalam negara dengan cacatan 38.0 darjah celcius sebelum mengalami sedikit penurunan keesokan harinya dengan catatan 37.7 darjah celsius.

 

Inisiatif pembenihan awan dilakukan pada hujung minggu lalu berjaya membawa hujan di Pasir Mas, Machang, Gua Musang, Kuala Krai, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh, namun bukan di Kota Bharu, kata laporan itu.

 

Akhbar itu juga melaporkan usaha pembenihan awan yang menelan belanja RM300,000 dilakukan oleh syarikat AF Jets Sdn Bhd secara percuma sebagai sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.