Status Pusat Akuatik Perlis Jadi Tanda Tanya

STATUS Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negeri di Kangar masih menjadi tanda tanya ketika Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-17 yang akan berlangsung di Perlis hanya tinggal lapan hari lagi untuk bermula.

Pusat Akuatik tersebut sepatutnya diserahkan kepada kerajaan negeri semalam oleh kontraktor yang bertanggungjawab, namun proses penyerahan itu tidak dapat disempurnakan kecuali Dewan Badminton.

Tanda tanya mengenai status Pusat Akuatik itu masih samar berikutan Menteri Besar Perlis, Azlan Man enggan menjawab pertanyaan wartawan mengenai perkembangan terbaharu serta jaminan yang dinyatakannya sebelum ini.

Pada Sabtu lepas, Azlan mengulangi jaminannya bahawa Pusat Akuatik dan Dewan Badminton untuk temasya sukan yang julung kali diadakan di Perlis itu akan siap sepenuhnya dan diserahkan kepada kerajaan negeri semalam.

“Saya tidak kata kedua-dua venue ini akan diserahkan hari ini (semalam). Saya tinjau tiga, empat kali dalam sehari bagi memastikan ia siap sepenuhnya,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita semasa meninjau kawasan yang sering dilanda banjir pada musim hujan sepanjang landasan kereta api berkembar di Arau semalam.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang meninjau venue-venue Sukma di Kangar pada Isnin lepas, menegaskan acara akuatik akan dipindahkan ke Kompleks Renang Gunung Keriang di Alor Setar, Kedah, sekiranya venue bagi acara itu gagal disiapkan pada tarikh yang ditetapkan.

Tinjauan wartawan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam mendapati hanya kolam renang sahaja yang siap tetapi kolam bagi acara terjun memerlukan masa tujuh hingga 10 hari lagi untuk disiapkan.

“Saya yakin ada harapan acara akuatik diadakan di Perlis tetapi adakah ibu bapa mahu membiarkan anak-anak mereka membahayakan diri bertanding di kolam yang disiapkan tergesa-gesa kerana banyak kemungkinan boleh berlaku.

“Dalam perbincangan dengan konsultan dan kontraktor, mereka memberi jaminan faktor keselamatan tetap diutamakan supaya atlet dapat beraksi dengan selamat,” katanya.

Shahidan, yang juga Ahli Parlimen Arau, berkata, beliau telah berbincang dengan Khairy Jamaluddin agar acara akuatik dilangsungkan di Perlis.

Menurutnya, konsultan dan kontraktor memberi jaminan bahawa kolam bagi acara terjun boleh disiapkan dua hari sebelum Sukma bermula 24 Mei ini.

“Kita ada masa mencukupi kerana acara renang bermula 28 Mei tetapi sekiranya tempoh mendapat kelulusan termasuk daripada Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengambil masa lebih tiga hari, besar kemungkinan acara akuatik diadakan di Kedah,” katanya.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.