SPR Thailand Cadang Tangguh Pilihan Raya

BANGKOK 15 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Thailand, hari ini meminta pilihan raya umum yang dijadual diadakan pada Julai ini ditangguhkan, selepas tiga orang lagi maut dalam serangan ke atas penunjuk perasaan antikerajaan di Bangkok, yang mencetuskan kebimbangan meningkatnya keganasan.

Polis berkata, kumpulan penyerang melemparkan dua bom tangan awal pagi ini di kem penunjuk perasaan di Monumen Demokrasi dan kemudian melepaskan tembakan.

Pusat Kecemasan Erawan berkata, tiga orang terbunuh dan 23 orang lagi cedera dalam kejadian itu.

Beberapa jam kemudian penunjuk perasaan menyerbu satu pertemuan antara kerajaan dan pegawai pilihan raya, memaksa Perdana Menteri sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan dan beberapa menteri lain keluar dari tempat tersebut.

“Pilihan Raya Umum pada 20 Julai ini mungkin tidak lagi boleh diadakan. Ia perlu ditangguhkan,” kata Setiausaha Agung SPR, Puchong Nutrawong selepas pertemuan tersebut berakhir dalam keadaan huru-hara.

Beliau berkata, awal Ogos mungkin menjadi pilihan untuk mengadakan pilihan raya tersebut, namun begitu tarikh tersebut tetap terlalu awal.

“Pilihan raya ini tidak boleh diadakan (Julai ini) jika penunjuk perasaan tidak bersetuju ia diadakan,” katanya.

Dalam pada itu, ketua tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha memberi amaran pihaknya mungkin terpaksa bertindak termasuk mengambil `tindakan kekerasan’ jika keganasan semakin meningkat ekoran krisis politik, yang setakat ini menyaksikan 28 orang maut dan beratus-ratus yang lain cedera.

“Jika keganasan berterusan, tentera mungkin terpaksa mengambil tindakan untuk mengembalikan keamanan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Serangan berdarah itu merupakan kejadian terbaharu ketika penunjuk perasaan menggesa pelantikan Perdana Menteri tanpa perlu diadakan pilihan raya dalam tindakan yang menimbulkan kemarahan penyokong kerajaan.

Penyingkiran bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra pada minggu lepas meningkatkan ketegangan konflik politik di negara ini. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.