Penderitaan Ezzat Berakhir

BAROH PIAL – PASIR MAS. Selepas menderita akibat jangkitan kuman pada otak tahun lalu, bekas penuntut UiTM Arau Perlis, menghembuskan nafas terakhir, malam kelmarin.

Penderitaan Ezzat Nor Azam Abdullah Hadi, 21, mendapat perhatian Sinar Harian 11 April lalu, apabila keseluruhan badannya lumpuh dan hanya tinggal tulang, selepas mengalami demam panas ketika menuntut di UiTM Arau.

Ibunya, Latipah Yusof, 49, berkata, disebabkan suhu badannya terlalu tinggi ,anak sulungnya itu tidak sedarkan diri dan terpaksa dimasukkan ke unit kecemasan Hospital Tuanku Fauziah, Perlis.

Menurutnya, selepas dirawat beberapa bulan di hospital berkenaan, anaknya dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan dan kemudian dibenarkan pulang bulan lepas.

“Kami reda dengan pemergiannya dan doa kami sentiasa mengirinya. Kami juga berterima kasih kepada semua yang prihatin dan mendoakan kesejahteraannya selama ini.

“Arwah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7 malam semalam (kelmarin) dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baroh Pial, jam 10 pagi tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof turut meluangkan masa menziarahi jenazah di rumahnya dekat Kampung Bukit Sukai, semalam.

“Pengorbanan mereka sekeluarga terlalu tinggi kerana kehilangan anak sulung yang menjadi tunggak harapan setelah berjaya melanjutkan pelajaran di menara gading.

“Saya berharap Latipah sekeluarga bersabar menghadapi keadaan ini dan berdoa agar rohnya dicucuri rahmat,” katanya.SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.