Penagih Bawa Anak Lepas Gian

BESUT – Seorang bapa tergamak membawa dua anak lelakinya berusia 5 dan 8 tahun ke tempat dia melepaskan gian di sebuah kandang kambing terbiar di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini, pagi kelmarin.

Suspek berusia 38 tahun yang tinggal di sebuah kampung di Jertih itu dipercayai ke lokasi terbabit untuk mengambil dadah, sebelum diberkas sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah yang menjalankan Ops Tapis.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek yang datang menunggang sebuah motosikal sambil membonceng dua anaknya diberkas berhampiran bangsal itu bersama tiga lagi suspek pada jam 10.30 pagi sebaik memasuki kawasan tersebut.

Menurutnya, suspek yang tidak mempunyai pekerjaan dan memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dikatakan sering ke lokasi tersebut untuk melepaskan gian.

“Dia ditangkap di dalam semak berhampiran kandang kambing itu oleh sepasukan polis yang bersembunyi dan menunggu di kawasan berhampiran,” katanya.

Kamaruddin berkata, terdahulu, pasukan sama memberkas empat suspek lain yang memasuki kawasan tersebut bermula jam 8 pagi.

Katanya, kesemua suspek yang diberkas berusia antara 21 hingga 42 tahun dan kebanyakan mereka adalah penganggur dan turut mempunyai rekod kesalahan dadah.

Beliau berkata, saringan air kencing terhadap semua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis heroin.

“Polis turut merampas satu straw mengandungi serbuk kemerahan dan dua botol mengandungi serbuk putih dipercayai dadah daripada dua suspek.

“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut manakala dua kanak-kanak tersebut diserahkan kepada waris mereka,” katanya.

Kata Kamaruddin, kandang tersebut juga dijadikan tempat tidur penagih kerana terdapat kelambu dan juga alas tidur.

Menurutnya, polis akan mengadakan operasi berterusan di lokasi yang dipercayai dijadikan tempat penagihan dadah.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.