Lebih 200 Pekerja Lombong Maut

SOMA – TURKI. Industri perlombongan Turki mencatatkan sejarah kemalangan paling buruk di negara itu apabila lebih 230 pekerja maut (sehingga jam 9 malam) dan lebih 400 yang lain terperangkap selepas lombong arang meletup dan terbakar di wilayah Manisa di barat negara tersebut, kelmarin.

Menurut AFP, dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari (waktu tempatan) itu, sejumlah 787 pekerja lombong bawah tanah dipercayai sedang bekerja sebelum lombong meletup didakwa berpunca dari litar pintas.

Menteri Tenaga Turki, Taner Yuldiz berkata, angka kematian dijangka meningkat memandangkan hanya 93 orang dapat diselamatkan dan 85 daripada mereka cedera.

“Insiden ini adalah serius kerana melibatkan kematian tertinggi di kalangan pekerja di negara ini dan kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu termasuk langkah pentadbiran dan undang-undang,” katanya yang turut mengisytiharkan tempoh berkabung tiga hari.

Difahamkan, anggota bomba kini cuba mengepam udara bersih ke dalam lombong untuk menyelamatkan mereka yang masih terperangkap kira-kira 2 kilometer di bawah tanah.

Sementara itu, Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan tiba di lokasi kemalangan selepas membatalkan perjalanannya ke Albania.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.