Felixia dan Ajaibnya Sehelai Hijab

MENGATUR temu janji seminggu sebelum pertemuan, wanita ini menaip perkataan Alhamdulillah pada khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaik kami bersetuju tentang tarikh yang sesuai untuk bertemu.

Jujur, saya sedikit kaget mahu membalas semula tulisan tersebut.

Seperti kata empunya diri, Felixia Yeap: “Sebab orang pun tak pasti sama ada boleh menggunakan saya lebih daripada sepatutnya. Sebab saya belum memeluk Islam.”

Pernyataan itu merujuk juga kepada perkembangan kariernya dalam dunia lakonan.

Selepas pertama kali muncul dalam drama rantaian Nikah Kita Bercinta bersama Azlee Khairi awal tahun ini, Felixia memanjangkan langkahnya sebagai pelakon.

Kali ini dia terbabit dengan drama rantaian Sarafina. Membawa watak Bella, rakan baik kepada pelakon utamanya, Sari Yanti, kata Felixia, dia menerima tawaran mengikut kesesuaian imejnya pada masa kini.

SELEPAS memakai hijab, dia mengaku sikap barannya berubah menjadi lebih tenang.
SELEPAS memakai hijab, dia mengaku sikap barannya berubah menjadi lebih tenang.

Sementelah, dia sendiri sedar diri dan faham, kekangan yang barangkali dilalui oleh pihak penerbit untuk menggunakan khidmatnya sebagai seorang pelakon adalah bersangkut dengan pegangan hidupnya.

“Macam saya cakap tadi, walaupun saya menutup aurat, saya belum memeluk Islam. Justeru, ia barangkali menjadi kekangan untuk mereka memberi watak yang bersesuaian dan tidak melanggar sensitiviti banyak pihak apabila mengambil saya berlakon, dan saya faham mengenai dilema itu,” ujarnya rasional.

Dia kemudian menambah sambil ketawa: “Masalah saya satu lagi ialah saya pelat berbahasa Melayu. Jadi mungkin sukar ada watak untuk wanita pelat jika kalau bukan ia misalnya tentang seseorang yang mahu berhijrah agama.”

Malah, sebagai pendatang baharu yang tidak punya asas lakonan langsung, dia mengaku perlu bertatih untuk menjadi seorang pelakon yang tidak banyak menyusahkan produksi.

Jelasnya, peluang perdana yang terbuka untuknya dalam Nikah Kita Bercinta digunakan sebaik mungkin. Bakat diasah dengan banyak memerhati dan bertanya daripada orang berpengalaman, selebihnya, dia berusaha untuk memberi yang terbaik berbekal pengalaman sebagai seorang model.

“Saya kira, hal yang sukar untuk berlakon ialah menghafal skrip dan memberi ekspresi spontan. Saya amat berterima kasih kepada seluruh produksi yang cukup sabar dan boleh menerima kekurangan saya sepanjang berlakon,” katanya merendah diri.hi_01.3

Tiada agama

Ironi, bercakap tentang wanita berusia 27 tahun ini, namanya meledak bagai terkena jerangkap samar selepas dia memilih untuk berhijab. Ya, seorang wanita Cina yang tidak mempunyai agama memakai hijab.

Boleh dikatakan, sepanjang 10 tahun menjadi model, dua tahun kebelakangan ini, nama Felixia menjadi sebutan kerana satu keputusan yang paling penting dalam hidupnya.

Keputusan seorang model yang sebelum ini dilihat begitu berani dengan beberapa ekspresi ghairah termasuk untuk majalah khas lelaki, Playboy, berhijab dan mahu memeluk Islam membikin banyak penasaran.

“Secara peribadi, untuk diri saya, saya melihat mengapa saya boleh mendedahkan tubuh, berbikini dan buka sana sini tetapi tidak untuk tutup-tutup dan berhijab?

“Saya kira ia soal kebebasan kita sebagai seorang individu untuk memilih jalan hidup kita, dan saya pilih jalan hidup seperti ini sekarang. Saya pilih berhijab dan mahu bulat hati memeluk Islam,” katanya tegas.

Wanita yang lahir di Kuala Lumpur, namun menghabiskan masa remajanya dengan bersekolah di Ipoh, Perak ini kemudian melanjutkan cerita.

Tanpa berahsia, dia memberitahu sejak kecil tidak pernah mempunyai pegangan agama. Dia tidak percaya Tuhan dan tidak tahu di mana Tuhan atau agama yang layak dijadikan pegangan hidup.

Sehingga tahun lalu, pada saat pertama kali dia menggayakan hijab untuk sebuah iklan komersial, ada satu rasa yang ajaib duduk di dalam hatinya.

“Saya seorang Cina tapi saya free thinker yang tak punya pegangan agama sejak kecil,” katanya tanpa selindung.

Felixia lantas memanjangkan bicara: “Kemudian, saya hadir untuk satu uji bakat iklan komersial Celcom. Saya gagal untuk mendapatkan peluang itu.

“Namun, kerana iklan tersebutlah ia telah merubah hidup saya. Pada iklan itu, saya harus berhijab dan saya fikir mengapa perlu saya tolak?

“Sebaik menyarung hijab, hati saya tiba-tiba terusik. Satu perasaan yang sukar saya ungkap menyelinap dalam hati. Betapa besarnya kuasa sehelai kain nipis yang menutup kepala saya mampu merubah kehidupan saya kini. Sungguh luar biasa.”

Sejak pertama kali menggayakan tudung tersebut, dia mabuk kepayang untuk berhijab, sekali gus menutup aurat. Perlahan-lahan dia keluar rumah memakai hijab dan mula memahami konsep bahawa hijab bukan satu bebanan untuk seorang wanita Islam, sebaliknya ia adalah satu suruhan yang memberi seribu satu manfaat kepada yang menurut perintahNya.

hi_01.4

Ustaz

Perubahan imejnya sekali gus membuat semua hal yang berada di sekelilingnya berubah.

Kerjayanya sebagai model memperlihatkan dirinya lebih banyak memperaga busana Muslimah, berbanding memperaga tubuh seperti dahulu.

Pada masa yang sama, rezekinya dalam bidang seni bercambah apabila dilamar menjadi pelakon.

Paling ketara, akuinya, banyak lelaki yang mendekat terdiri daripada lelaki Melayu yang tertarik dengannya termasuk dalam kalangan ustaz.

Katanya panjang lebar: “Berbanding dahulu, lelaki yang mendekati saya pada kali ini mengajak saya berkahwin, bukan sekadar mahu memuaskan nafsu.

“Ada juga ustaz yang berminat terhadap saya.

“Prinsip saya mudah. Seperti mana saya memakai hijab bukan kerana seorang lelaki, saya juga tidak mahu memeluk Islam kerana mahu dinikahi seorang lelaki Islam. Sebaliknya, saya lakukan semua perkara atas kerelaan sendiri.

“Jika tiba waktu saya berkahwin kelak, saya berdoa agar iman suami saya lebih tebal daripada saya untuk membimbing saya sebagai seorang isteri dan Muslimah yang baik.

“Saya tidak mahu Allah membalikkan hati saya semula dengan tidak mempunyai kepercayaan terhadap agama. Justeru, saya memerlukan seorang lelaki yang benar-benar beriman kerana Allah SWT.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.