Awas Dengan Pak Haji Penyamun

BAGAN SERAI – Taktik terbaharu penjenayah berperwatakan ‘Pak Haji’ dan menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memperdaya serta menyamun warga emas kini dikenal pasti berleluasa di sekitar daerah Kerian.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, berdasarkan statistik kes daripada 2012 hingga April 2014, polis menerima 27 aduan berkenaan kes penyamaran seumpama itu di mana jumlah kerugian dicatatkan melebihi RM60,000.

Menurutnya, berdasarkan pecahan tahun, polis mengenal pasti 12 kes dicatatkan pada 2012, tujuh kes 2013 dan lapan kes pada 2014.

“Modus operandi kebanyakan kes hampir sama iaitu golongan warga emas berusia 55 tahun ke atas, terutama kaum wanita didatangi seorang lelaki berpakaian kemas dan membawa motosikal mendakwa dirinya wakil JKM atau mana-mana agensi kerajaan lain.

“Kes sebegini kebiasaannya berlaku kepada warga emas yang tinggal berseorangan. Suspek datang bertanyakan khabar dan memaklumkan kehadiran mereka kononnya atas alasan membuat pemeriksaan dan tinjauan.

“Mangsa yang ditawarkan bantuan kemudiannya pergi ke dapur untuk menyediakan minuman kepada suspek sebelum terkejut mendapati barangan berharga milik mangsa seperti barang kemas dan wang tunai lesap dilarikan sejurus suspek beredar dari rumah mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, di sini semalam.

Menurutnya, pada tahun ini, polis menerima lapan kes penyamaran seumpama itu dan kes terbaru diterima pada pertengahan April lalu di mana seorang warga emas disamun di Jalan Kubu Gajah, Gunung Semanggol dan kehilangan barang kemas bernilai RM3,000.

Mat Fauzi berkata, seramai dua suspek berjaya ditahan di kawasan Gunung Semanggol bagi membantu siasatan.

Katanya, kedua-dua suspek kini masih dalam siasatan dan polis percaya masih terdapat beberapa individu melakukan kegiatan sama yang kini meluaskan kegiatan ke bahagian luar daerah serta negeri berdekatan.

“Siasatan awal polis mengenal pasti suspek terdiri daripada anak jati Perak dan sering berpindah ke lokasi berlainan di seluruh negeri ini bagi mengelak ditangkap,” katanya.SH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.