16 Tahun Tanpa Bekalan Elektrik

TUMPAT – Selama 16 tahun hidup bergelap kerana tinggal di rumah usang tanpa bekalan elektrik, keperitan yang terpaksa dilalui Mat Roni Jaafar, 39, sekeluarga dari Kampung Kebun, Pengkalan Kubor, berakhir juga. 

Kelmarin, Mat Roni bersama isteri, Zabiah Mahat, 35, dan tiga anak mereka sudah mampu tersenyum  apabila berpeluang memiliki rumah sendiri yang cukup sempurna untuk berteduh daripada hujan serta panas.

Impian mereka direalisasikan di bawah program Baiti Jannati atau Rumahku Syurgaku, anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan rumah Mat Roni, salah sebuah daripada 10 rumah yang dibina di Kelantan.

Pengurus Besar TNB Kelantan, Ir Md Yuslan Md Yusof berkata, program Baiti Jannati adalah program kebajikan dengan mengenal pasti rumah yang layak menerima bantuan mengikut kriteria ditetapkan.

“Projek ini dilaksanakan susulan saranan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GCL) seperti TNB memainkan peranan membantu kerajaan membaiki rumah golongan sasaran, antaranya orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan penduduk miskin di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Ketua Jajahan Tumpat, Sobri Ramli menyempurnakan majlis penyerahan rumah berkenaan kepada Mat Roni.

Md Yuslan berkata, 10 rumah dibina di negeri ini menerusi program tersebut di setiap jajahan kecuali di Bachok melibatkan peruntukan berjumlah RM500,000.

“Sebuah rumah telah siap dan diserahkan kepada Mat Roni, manakala sembilan lagi masih dalam pembinaan dan dijangka siap sebelum Aidilfitri ini,” katanya.

Sementara itu, Mat Roni yang bekerja sebagai buruh melahirkan rasa syukur apabila berpeluang memiliki rumah sendiri menerusi program Baiti Jannati.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak TNB kerana merealisasikan impian saya untuk memiliki rumah sempurna dan dilengkapi dengan bekalan elektrik,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.