149 Menara Komunikasi Akan Dibina Disarawak

SIBU – Sebanyak 149 menara komunikasi akan dibina di Sarawak tahun ini dengan kos RM200 juta, kebanyakannya di luar bandar, sebagai langkah untuk meluaskan liputan selular dan meningkatkan akses Internet.

Jumlah itu adalah sebahagian daripada 400 menara komunikasi yang akan dibina di seluruh negara tahun ini, kata Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Adiman Ajem.

Menurut beliau, menara berkenaan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini atau awal tahun depan dan sehingga kini, Sarawak mempunyai 900 menara komunikasi.

“Ini akan membolehkan lebih banyak penduduk kawasan pedalaman di bahagian Sibu, Kapit, Miri, dan Sarikei serta kawsaan sekitarnya menikmati liputan selular dan kemudahan Internet yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat untuk anggota majlis perbandaran Sibu tentang kesan radiasi daripada menara pemancar radio dan komunikasi terhadap kesihatan di sini hari ini.

Adiman berkata menara komunikasi tidak memberi kesan buruk terhadap kesihatan penduduk dan mereka yang tinggal berdekatannya.

“Banyak orang berasa takut akibat laporan tidak disahkan tentang kesan sampingan yang didakwa berpunca daripadanya.

“Malaysia mempunyai undang-undang yang sangat ketat tentang pembinaan menara komunikasi bagi melindungi kesihatan orang ramai,” katanya.

Adiman berkata Malaysia mematuhi standard yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Perlindungan Radiasi Tidak Mengion.

“Kajian saintifik di Semenanjung dan kira-kira 50 kajian tempatan menunjukkan menara berkenaan tidak mengakibatkan kesan buruk.

“Oleh itu, orang ramai tidak perlu bimbang atau menentang rancangan untuk membinanya di kawasan kejiranan mereka,” kata beliau. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.