KOTA KINABALU, – Kestabilan negara bukan terletak pada keseragaman pandangan politik atau ideologi, sebaliknya bergantung kepada keupayaan rakyat dan pemimpin mengurus perbezaan secara matang dan bertanggungjawab.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak berkata, ada pihak beranggapan kestabilan hanya wujud jika semua orang menyokong satu parti atau satu pandangan sahaja. Namun realitinya, kestabilan sebenar lahir apabila masyarakat mampu menerima perbezaan dengan saling menghormati.
“Kestabilan bukan bermaksud tiada konflik, tetapi wujudnya sistem yang adil untuk menyelesaikan perbezaan secara aman,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Usukan itu, perpaduan pula bukan soal semua orang berfikir sama, sebaliknya soal berkongsi matlamat bersama seperti keadilan, keamanan dan kemajuan walaupun dengan pendekatan berbeza.
Katanya, banyak negara berjaya kerana rakyatnya fokus kepada apa yang menyatukan mereka, bukan apa yang memecahbelahkan.
“Negara yang mengekang kebebasan mungkin kelihatan ‘tenang’, tetapi kestabilan sebegitu biasanya rapuh. Bila suara rakyat disekat, tekanan boleh meletup bila-bila masa,” tambahnya.
Beliau menegaskan bahawa kestabilan yang berkekalan hanya boleh dicapai apabila perbezaan dibenarkan secara terbuka dan dilindungi oleh institusi yang kukuh serta diyakini rakyat.
Salleh turut menyenaraikan tiga tonggak utama kestabilan iaitu kebebasan bersuara, undang-undang yang adil, dan sikap bertanggungjawab semua pihak termasuk kerajaan dan rakyat.
“Perpaduan terbina apabila kita bersedia mendengar, menghormati pandangan berbeza, dan mencari titik persamaan demi kebaikan bersama,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan itu dengan menyeru semua rakyat Malaysia supaya mengutamakan nilai saling menyokong dalam kepelbagaian, kerana itulah kekuatan sebenar sesebuah negara.
“Seperti kata peribahasa, ‘Buluh seikat lebih kuat daripada sebatang’. Kita boleh berbeza, tapi perlu bersatu.”-SUARA.TV