CYBERJAYA – Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menolak dakwaan bahawa beliau terlibat dalam pemberian wang kepada pengundi sempena pemilihan PKR akan datang, sambil menegaskan bahawa tiada arahan khusus dikeluarkan olehnya kepada mana-mana individu dalam pasukannya.
Beliau menyatakan komitmennya untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi menyiasat isu itu secara telus dan adil.
“Saya telah menerima satu sebaran video berkaitan pemberian token kepada pemilih. Saya ingin menafikan perbuatan tersebut sepenuhnya oleh kerana tiada arahan khusus dikeluarkan oleh saya kepada mana-mana anggota pasukan sama ada di peringkat cabang mahu pun sayap-sayap parti,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sebelum ini, tular satu video yang menunjukkan seorang pemimpin dari sayap parti di Cabang Batu memberikan wang sambil menyeru para pengundi menyokong “pasukan Praba”, termasuk Prabakaran sendiri, dalam pemilihan yang bakal berlangsung Sabtu ini.
Rakaman yang dipercayai dibuat secara rahsia itu turut mencetuskan kebimbangan berhubung dakwaan politik wang, apabila individu dalam video tersebut dilihat menjanjikan ganjaran RM100 sebelum dan RM100 selepas mengundi.
Klip video berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan ahli parti serta pemerhati politik yang mempersoalkan tahap integriti proses pemilihan PKR.
Sehingga kini, tiada makluman rasmi daripada JPP mengenai sebarang tindakan lanjut yang bakal diambil berkaitan kes berkenaan.