DOF Perkasa Industri Tuna Negara Melalui Pembangunan Produk Inovasi Tempatan

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

SERDANG – Industri tuna bukan sahaja strategik dari sudut ekonomi dan keterjaminanan makanan negara, malah berpotensi besar menjadi salah satu sumber kekayaan baharu negara.

Perancangan Pelan Strategik Industri Tuna 2021–2030, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menyasarkan pendaratan tuna mencecah 150,000 tan metrik menjelang 2030, disokong oleh pembangunan infrastruktur, pematuhan piawaian antarabangsa serta penghasilan produk berinovasi berasaskan tuna tempatan.

Ketua Pengarah DOF, Dato’ Hj. Adnan Hussain berkata pelaksanaan pelan ini turut merangkumi pematuhan piawaian antarabangsa Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) pembangunan spesifikasi vesel dan peralatan moden, sistem kawalan perikanan, serta peningkatan kapasiti pemprosesan dan nilai tambah produk.

“Penyertaan Malaysia dalam IOTC sejak 1998 membuktikan komitmen negara dalam mengurus sumber tuna secara berdaya saing dan mapan di peringkat global.

“Pendaratan tuna oseanik Malaysia sehingga 2023 direkodkan sebanyak 3,018.42 tan metrik, melibatkan aktiviti perikanan di Lautan Hindi serta kawasan laut dalam Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, ”katanya dalam kenyataan pada Selasa.

“Pendaratan tuna di Pulau Pinang bagi 2024 mencatatkan perkembangan positif dengan jumlah sebanyak 431 tan metrik setakat ini.

“Kita mahu melihat bukan hanya jumlah pendaratan tuna yang meningkat, tetapi juga peningkatan dari segi nilai komersial dan penerimaan pengguna terhadap produk tuna.

“Inovasi seperti ‘tuna golek’ adalah antara usaha memperkenalkan kaedah penyediaan sihat, moden dan menarik yang mampu menembusi pelbagai segmen pasaran.

“DOF terus komited memperkukuh pembangunan industri tuna negara melalui pelbagai pendekatan strategik termasuk penerokaan pasaran domestik dan pembangunan produk hiliran berasaskan sumber tuna tempatan,”katanya lagi.

“Malaysia memiliki sumber tuna yang signifikan, terdiri daripada dua kategori utama iaitu tuna oseanik dan tuna neritik

“Tuna oseanik seperti Yellowfin, Bigeye, Skipjack dan Albacore lazimnya ditangkap di perairan Lautan Hindi serta kawasan laut dalam Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Tuna neritik seperti Aya Hitam, Tongkol dan Aya Kurik ditangkap di pelantar benua dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia melibatkan pelbagai jenis vesel termasuk vesel rawai tuna Zon C3, jongkong tuna, pukat jerut Zon C dan C2.

“Kategori tuna-like pula merangkumi spesies seperti mersuji, layaran, jerung oseanik, barracuda oseanik, ikan layar oseanik, marlin, todak dan lain-lain turut menyumbang kepada industri ini mencatatkan pendaratan sebanyak 13,909.85 tan metrik, ”ujarnya.

“Tuna merupakan sumber protein laut yang berkualiti tinggi dan digemari ramai mengandungi nutriennya yang tinggi, termasuk protein, asid lemak omega-3, vitamin B12, D, zat besi, dan selenium menjadikan tuna sebagai makanan pilihan untuk gaya hidup sihat.

“Setiap 100 gram tuna mengandungi lebih 28 gram protein, rendah lemak, hampir tiada karbohidrat, dan rendah kalori menjadikannya sesuai untuk semua lapisan masyarakat, ”ujarnya lagi.

Dalam pada itu, sesi promosi dan rasa produk inovasi ‘tuna golek’ telah diketengahkan sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jabatan Perikanan Malaysia di D Lakeside, Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), dekat sini.

Ianya mengekalkan rasa asli ikan tanpa penggunaan minyak berlebihan, sekaligus menjadikannya alternatif sihat untuk pengguna.

Produk ini diperkenalkan oleh syarikat bimbingan DOF, DR TUNA Sdn. Bhd., di bawah program myAgropreneur Perikanan (myAP) yang telah diberikan Sijil Penghargaan Usahawan myAP di atas pencapaian dalam pembangunan produk berasaskan tuna.

Syarikat ini pernah menerima geran pembungkusan dan pelabelan produk daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) pada 2020.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat