Remaja Sakit Jantung Terharu Terima Kunjungan TPM dan KM

SEMPORNA – Nurrodiatul Muhammad Isah, 13, remaja mengalami masalah jantung dan perlu mendapatkan rawatan segera, terharu menerima kunjungan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di rumah mereka di Kampung Labuan Senang, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri tiba jam 9.30 pagi dan meluangkan masa kira-kira 10 minit bertanya khabar terhadap pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bugaya, di sini, selain memberi sumbangan ikhlas kepada keluarganya.

Nurrodiatul yang dikesan mengalami masalah jantung sejak enam bulan lalu mengakui gembira apabila pemimpin nombor dua negara sudi meluangkan masa menziarah dan bertanya khabar.

“Saya gembira dan tak menyangka menyangka beliau sudi meluangkan masa menziarah saya serta keluarga kerana kita maklum beliau mempunyai jadual kerja yang padat,” katanya.

Turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Datuk Ramlee Marahaban.

Sempena ziarah itu, Ahmad Zahid dan Musa masing-masing menyerahkan sumbangan wang tunai bagi membantu keluarga terbabit mendapatkan rawatan, selain meringankan beban mereka.

Sementara itu, bapa Nurrodiatul, Muhammad Isah Hassim, 37, mengakui bagaikan tidak percaya apabila dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri akan menziarahi anak sulung daripada lapan beradik itu.

Bekas anggota tentera itu berkata, beliau mendapat tahu mengenai kunjungan Ahmad Zahid itu pada minggu lalu.

“Kunjungan ini sedikit sebanyak menggembirakan anak sulung kami yang mengalami masalah kesihatan dan memerlukan rawatan di Kota Kinabalu,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Zahid turut melawat pesara Guru, Abd Malik Abd Rahman di kampung sama yang menghidap penyakit angin ahmar. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.