Kalau Bukan Artis, Saya Gemuk – Shahz Jaszle

KUALA LUMPUR: Pelakon Shahz Jaszle, 29, tidak menolak kemungkinan mengabaikan soal penampilan diri terutama berat badan andai dirinya bukan selebriti.

Berehat seketika selepas isteri, Hanis Husna bersalin anak sulung, Shahz mengaku tidak menjaga pemakanan sehingga berat badan naik mendadak sepanjang tempoh itu.

“Saya beritahu isteri, kalau saya bukan selebriti, saya pasti seronok kerana tidak perlu berfikir mengenai penjagaan makanan atau senaman.

“Bahagia sungguh apabila dapat menikmati segala jenis makanan yang ada. Sehinggakan berat badan naik mendadak,” katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, keseronokan itu hanya dinikmati seketika apabila memikirkan karier lakonan adalah pendapatan utamanya bagi menanggung keluarga. Shahz yang juga bapa kepada Alana Jasmeen Jaszle, 2, dan Ayden Jasreen Jaszle, empat bulan, terpaksa mengurangkan berat badan agar relevan dalam industri seni lakonan tempatan.

“Saya sedar, untuk kekal relevan, saya perlu susutkan badan. Malah, ada beberapa penerbit meminta saya menurunkan berat badan. Jika tidak, agak sukar untuk saya mendapat watak utama.

“Alhamdulillah, daripada 86 kilogram (kg), saya berjaya mengurangkan berat sehingga 80 kg. Saya perlu mendapatkan berat badan yang ideal iaitu 75 kg,” katanya.

Shahz atau nama penuhnya, Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, bersyukur apabila dia masih diberi kepercayaan penerbit.

Menyifatkannya sebagai rezeki anak, Shahz sedang sibuk menjalani penggambaran drama Mr. Stalker, bagi siaran Hip TV dan drama Tasbih Rindu untuk RTM.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!